Tuesday, 7 February 2017

Bernama kendali Amanat Merdeka...

 Bernama sekali lagi diberi kepercayaan mengendalikan Amanat Merdeka yang akan disampaikan oleh Perdana Menteri pada malam ambang Hari Kemerdekaan pada 30 Ogos ini.
 Ini merupakan tahun keempat Bernama diberi kepercayaan itu setelah pertama kali melaksanakannya dengan jaya di Dewan Tunku Abdul Rahman di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang pada tahun 2014.
 Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya di mana perutusan Perdana Menteri  dibuat secara rakaman dan disiarkan menerusi radio dan televisyen, Datuk Seri Najib Tun Razak memilih untuk menyampaikan amanat  secara langsung pada tahun tersebut. Ia kemudiannya menjadi acara tahunan.
 Pengurus Komunikasi Korporat Puan Zarina Rozali memaklumkan mengenai persediaan Bernama untuk mengendalikan acara itu pada mesyuarat berkenaan peringkat kementerian hari ini.
   Amanat Merdeka tahun ini dijadualkan berlangsung di Auditorium Angkasapuri pada 30 Ogos bermula 8.30 malam. 
 Bersempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-60 tahun ini, kerajaan akan melancarkan inisiatif 'Negaraku' yang bertunjangkan semangat cintakan Malaysia.
  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata inisiatif 'Negaraku' bertujuan menyemarakkan lagi semangat cintakan negara dalam diri rakyat, mengetepikan sebarang perbezaan serta bersatu hati dalam menjayakan cita-cita bagi membentuk Malaysia yang lebih makmur dan berjaya.
  "Pelbagai program dan rancangan akan diadakan dengan kerjasama kementerian dan agensi kerajaan bagi menjayakan inisiatif ini yang akan melibatkan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan media hari ini. 
  Beliau berkata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak bertanggungjawab untuk menjalankan program tersebut.

No comments:

Post a Comment