Saturday, 25 February 2017

Infografik tarikan pameran Bernama...

Paparan berunsur infografik mengenai perkhidmatan dan produk Bernama menjadi tarikan pada pameran yang dipersembahkan Bernama sempena Program Negaraku: Komuniti 1Malaysia di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di Pekan, Pahang yang masuk hari kedua, hari ini.
Tanpa menggunakan banyak perkataan, maklumat menerusi infografik lebih mudah difahami selain menampilkan pembaharuan kepada persembahan Bernama.
Program itu, yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, juga memberi peluang bagi Bernama mempromosikan sambutan ulangtahun ke-50.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan ketua setiausaha kementerian, Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad turut mengunjungi 'booth' Bernama.
Datuk Seri Dr Salleh menyampaikan plak penyertaan kepada Bernama yang dipimpin Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abd Wahab. 
Penyertaan Bernama menjadi satu lagi platform untuk menonjol penjenamaan agensi berita ini yang gigih berusaha meningkatkan perkhidmatan dalam persaingan media yang semakin mencabar.
Amat menarik kerana ada kalangan pengunjung yang mengetahui mengenai platform Bernama dalam media sosial.
Ada yang bercakap mengenai aplikasi Android Bernama -- bernama.mobile yang membolehkan pengguna mendengar Radio Bernama, menonton BNC dan melayari bernama.com.
Maklum balas yang diberikan mengenai bernama.mobile adalah menggalakkan kerana ia berguna dan boleh diakses di mana sahaja.
Orang ramai juga tidak melepaskan peluang menyertai uji bakat pembaca berita Bernama Radio. 
Peserta menerima cenderahati yang disampaikan oleh Datuk Zakaria pada acara itu.
Dalam mesej menerusi WhatsApp, Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh menyatakan penghargaan kepada para petugas Bernama yang menjayakan program itu.
"Tahniah dan Terima kasih semuanya turun padang terutama Datuk KP," katanya.


No comments:

Post a Comment