Thursday, 2 February 2017

Cadang siar semula berita Tamil dan Mandarin di BNC...

Foto Bernama
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia bercadang mewujudkan semula berita berbahasa Tamil dan Mandarin di saluran televisyen Bernama News Channel (BNC).
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata perbincangan terperinci bersama pihak pengurusan Bernama sedang dilakukan supaya cadangan itu dapat dilaksana dalam masa terdekat.
"Kita ada permintaan daripada masyarakat (untuk siaran ini) yang dahulu memang ada tetapi dihentikan, dan kita akan lihat semula keperluannya.
"Berdasarkan ucapan (Pengurus Besar Bernama) Datuk Zulkefli Salleh sebentar tadi, berita bahasa Tamil adalah tertinggi 'rating' dan pada saya jika itu pertimbangannya, sudah tentu tidak ada sebab kita tak boleh adakan semula berita dalam bahasa Tamil dan Mandarin melalui BNC," katanya kepada pemberita di Wisma Bernama hari ini.
Terdahulu, beliau bersama Duta Khas Malaysia bagi Infrastruktur ke India dan Asia Selatan Datuk Seri S. Samy Vellu melancarkan program Tamil Oli yang akan bersiaran di Bernama Radio mulai Sabtu ini.
Program Tamil Oli yang diwujudkan dengan kerjasama New Wave Events Sdn Bhd akan bersiaran dari 11 pagi hingga 1 tengah hari dan 11 malam hingga 12 malam setiap Sabtu dan Ahad.
Program berkonsepkan 'infotainment' atau hiburan dan maklumat itu boleh diikuti di saluran Bernama Radio 93.9FM di Lembah Klang, 107.5FM di Johor, 107.9FM di Sabah dan 100.9FM di Sarawak.
Salleh berkata Tamil Oli akan menjadi antara saluran terbaik untuk masyarakat India menerima maklumat.
"Kita harus pastikan rakyat pelbagai kaum dan agama mempunyai maklumat sahih. Walaupun bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi kita, itu tidak bererti bahasa lain diketepikan. Itu antara tujuan diwujudkan program ini," katanya.
Dalam pada itu, Zulkefli berkata Tamil Oli akan menjadi satu daripada program yang akan memberi nilai tambah kepada perkhidmatan Bernama sebagai agensi berita dalam melaporkan maklumat tepat.
Zulkefli berkata Bernama turut bercadang mewujudkan portal berita dalam talian berbahasa Tamil untuk memberi lebih banyak pilihan kepada masyarakat dalam mendapatkan informasi terkini dan tepat.
Dalam perkembangan lain, Salleh berkata kementerian bersedia bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi dan polis untuk menangani kebanjiran sindiket dalam talian untuk memperoleh kelulusan akademik palsu dalam tempoh 24 jam, seperti dilaporkan akhbar.
"Kita akan melihat sama ada portal berkenaan boleh disekat atau tidak. Tapi kita sedia maklum ada antara portal ini 'host'nya di luar negara dan bukan di Malaysia. Jadi kita kena tengok.
"Masyarakat pula kena pastikan institusi itu mendapat akreditasi atau tidak. Jangan mudah tertipu. Secara logiknya tak mungkinlah terlalu cepat untuk kita mendapat ijazah, doktor falsafah seumpama itu," katanya.
Menurutnya pada tahun ini lebih banyak program akan diadakan untuk mendidik masyarakat supaya tidak mudah terpedaya dengan maklumat yang diterima dan berita palsu.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment