Friday, 10 February 2017

Pengamal Media Sambut Baik Cadangan Wujud Hari Akhbar Kebangsaan

Penggiat industri media menyambut baik cadangan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak untuk mengadakan Hari Akhbar Kebangsaan Malaysia mulai tahun ini.
Pengurus Besar, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Zulkefli Salleh berkata, cadangan itu sangat pratikal dan bertepatan dengan masa.
Katanya, ini kerana telah tiba masanya peranan akhbar di Malaysia diberi satu penghormatan secara rasmi di peringkat nasional.
"Kita akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak berkaitan bagi merealisasikan cadangan itu," katanya di Ambon setelah menyertai delegasi Salleh bagi menghadiri sambutan Hari Pers Nasional Indonesia.
Zulkefli, yang juga presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami), berkata, tidak dapat dinafikan sememangnya banyak pihak mengiktiraf sumbangan media cetak tetapi dengan wujudnya Hari Akhbar Kebangsaan, ia merupakan satu pengiktirafan secara rasmi bagi memperingati jasa dan perjuangan akhbar dalam negara.
Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab berkata, cadangan tersebut adalah sesuatu yang sangat dinantikan bagi menterjemahkan jasa dan sumbangan industri akhbar di Malaysia.
Beliau berkata akhbar di Malaysia adalah medium perjuangan agama, bangsa dan negara, malah ia juga memainkan peranan menyuntik semangat perjuangan menuntut kemerdekaan ketika zaman penjajahan.
"Kita harus menerima hakikat bahawa akhbar dan golongan wartawan telah memberi sumbangan penting sejak zaman perjuangan menuntut kemerdekaan sehinggalah zaman mengisi kemerdekaan sekarang," katanya.
Salleh berkata, sudah tiba masanya Malaysia mempunyai Hari Akhbar Kebangsaan bagi menghargai dan mengiktiraf sumbangan pengamal media dalam perjuangan membangunkan negara.
Katanya, kementeriannya bersedia bekerjasama dengan pihak pimpinan organisasi media di Malaysia bagi melaksanakan acara tersebut.
Salleh membuat cadangan itu semasa menghadiri Majlis Ramah Tamah Bersama Media Indonesia dua hari lepas sempena sambutan Hari Pers Nasional Indonesia di sini.
Salleh mengetuai delegasi 20 pengamal media Malaysia bagi menghadiri majlis perasmian Hari Pers Nasional oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo, semalam.
-- BERNAMA



No comments:

Post a Comment