Thursday, 23 February 2017

Lloyd's puas hati sistem kualiti Bernama...

Juruaudit Lloyd's Register Quality Assurance (LRQA) Mohamed Ramli Daud tidak asing dengan Bernama.
Beliau telah beberapa kali mengunjungi Bernama untuk menjalankan audit bagi menentukan Bernama mematuhi keperluan sistem ISO. 
Kali ini tumpuannya ialah bahagian pemasaran dan operasi pemberitaan untuk menentukan Bernama terus relevan sebagai pembekal berita yang cepat dan tepat bagi memenuhi kehendak pelanggan.
Setelah menjalankan audit di Bahagian Jualan Nasional, beliau tertarik dengan strategi pemasaran yang dilaksanakan oleh bahagian itu.
"Saya telah menemuramah Norena (Wati Yaacob, pengurus kanan Jualan Nasional) dan mendapati mereka begitu gigih mendapatkan potential clients," katanya ketika membentangkan rumusan auditnya kepada pihak pengurusan petang ini. Audit pematuhan itu dijalankan dua kali setahun.
Ramli ditunjukkan senarai pelanggan yang telah diperolehi oleh bahagian itu serta entiti yang berpotensi menjadi pelanggan baharu.
Menurutnya, peluang untuk meningkatkan jumlah pelanggan adalah luas kerana masih ramai yang tidak memahami keupayaan Bernama menyediakan platform yang dapat memanfaatkan mereka.
Bagi operasi berita pula, beliau memuji inisiatif mewujudkan Meja Multimedia untuk mengeluarkan berita dengan lebih pantas dan menarik menerusi media sosial.
Beliau berharap sistem editorial Bernama yang akan dimulakan tidak lama lagi akan menjadikan proses penyaluran berita lebih baik.
"Penemuan saya kali ini nampaknya positif dengan adanya meja multimedia dan strategi pemasaran untuk menjana pendapatan Bernama," katanya.
Bernama menerima persijilan ISO 9002 daripada badan antarabangsa -- Lloyd's Register itu pada Ogos 2000.







No comments:

Post a Comment