Tuesday, 28 February 2017

Perayaan terbesar wartawan Malaysia...

Sambutan Hari Wartawan Malaysia yang julung kali dicadang diadakan tahun ini akan tampil sebagai perayaan terbesar pengamal media di negara ini, Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh membayangkan hari ini.
Ia dijangka melibatkan penyertaan antara 3,000 hingga 4,000 pengamal media dari seluruh negara.
“Sambutan ini bagi merayakan kebebasan media di Malaysia dengan memberikan pengiktirafan kepada media sebagai “the fourth estate”  dalam sebuah negara yang demokratik dan berdaulat,” katanya kepada para pegawai kanan Bernama.
Tarikh yang dicadangkan ialah antara 31 Ogos dan 16 September ketika semangat patriotisme masih membara.
“Ia akan diadakan di luar ibu negara sama ada di Pulau Langkawi atau di Pantai Timur seperti di Cherating…tempat di mana para peserta boleh ke sana dengan kenderaan darat (by land),” katanya.
Cadangan mengadakan Hari Wartawan Kebangsaan Malaysia disuarakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak pada 8 Februari lepas ketika menghadiri sambutan Hari Pers Nasional Indonesia di Ambon.
Beliau berkata sudah tiba masanya untuk mewujudkan penghargaan tersebut mulai tahun ini bagi meraikan sumbangan pengamal media terhadap negara.
"Kita juga akan mengundang Persatuan Wartawan Indonesia untuk memeriahkan Hari Wartawan Kebangsaan Malaysia sebagaimana yang dilakukan sempena Hari Pers Nasional yang diadakan di Indonesia pada setiap tahun," kata Datuk Seri Salleh yang mengetuai delegasi pemimpin media Malaysia.
Datuk Zulkefli, yang juga Pengerusi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) dan Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab turut menyertai delegasi itu.
Menurut Datuk Zulkefli, selain ISWAMI beberapa pihak seperti Jabatan Penerangan dan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) akan dilibatkan dalam penganjuran Hari Wartawan Kebangsaan.

   

No comments:

Post a Comment