Sunday, 5 February 2017

Cabaran cef misi flotilla ke Myanmar...

Daripada Mohd Ashraf Syafiq Mazlan yang menyertai misi 'Food Flotilla for Myanmar'
     
Jamuliddin dan Rosfazilah (dua dari kiri) -- Foto Bernama
 SELAT MELAKA: Tugas seorang cef bukanlah mudah, lebih-lebih lagi apabila perlu menyediakan makanan dan memasak di atas kapal yang sedang bergerak dalam keadaan laut bergelora.
 Itulah cabaran yang dihadapi ketua tukang masak, Jamuliddin Elias, 54, bagi menyediakan makanan untuk 195 sukarelawan di atas kapal 'Nautical Aliya' untuk menjayakan misi kemanusiaan 'Food Flotilla for Myanmar'.
 Menurutnya, pengalaman selama 17 tahun memasak di atas kapal dalam beberapa siri misi kemanusiaan sebelum ini, mempersiapkan dirinya untuk menghadapi cabaran kali ini dengan tenang dan profesional demi menyediakan perkhidmatan terbaik.
 "Memang mencabar bila kami perlu melaksanakan tugas dalam keadaan terhuyung-hayang keadaan kapal yang bergerak berikutan ombak kuat dan bergelora.
 "Kalau ingin ambil barang memang agak sukar selain perlu kendalikan peralatan dapur yang cukup berbeza daripada peralatan dapur di rumah," katanya kepada Bernama hari ini.
 Beliau berkata aspek kebersihan juga perlu dititikberatkan memandangkan sukarelawan yang mengikuti misi perlu berada dalam keadaan siap siaga dan sihat bagi menggalas tanggungjawab membantu etnik Rohingya.
 "Saya bangun seawal pukul 4.30 pagi untuk menyediakan bahan makanan dan memikirkan lauk yang berkhasiat serta memberi tenaga kepada sukarelawan kita di sini.
   "Berada di lautan memang berbeza kerana saya akan rasa 'tidak selera' untuk memasak, namun ia perlu juga diteruskan demi memastikan mereka semua berpuas hati," katanya.
  Isterinya, Rosfazilah Mohd Nor, 51, yang turut serta dalam misi itu berkata ia merupakan pengalaman pertama baginya mengikuti suaminya belayar dalam misi kemanusiaan.
 "Saya membantu suami saya memasak, namun cabaran buat saya apabila harus memasak dalam kapal yang besar dan sedang bergerak serta mengendalikan peralatan memasak seperti periuk amat berat," katanya.
  Misi yang membawa 2,300 tan metrik makanan, keperluan perubatan, keperluan harian, pakaian dan selimut dijangka belayar selama 18 hari melalui Laut Andaman untuk sampai ke Yangon serta kem pelarian di Bangladesh.
 Misi 'Food Flotilla for Myanmar' untuk etnik Rohingya itu adalah anjuran Kelab Putra 1Malaysia (KP1M) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).
  Ia disertai kira-kira 195 sukarelawan dari 12 negara melibatkan pasukan perubatan, tenaga pengajar, pengamal media tempatan dan antarabangsa, serta wakil-wakil NGO tempatan dan luar negara.
    -- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment