Friday, 24 February 2017

Kemalangan tragis jadi ingatan...

Kemalangan jalanraya yang mengorbankan seorang wanita muda akan menjadi memori bagi sekumpulan petugas Bernama yang terlibat dengan Program Negaraku: Komuniti 1 Malaysia di Pekan, Pahang.
Setelah bertugas dari pagi, mereka menaiki van untuk makan malam di Kuantan apabila kemalangan berlaku "di depan mata" dekat Kampung Selamat pada kira-kira 8.15 malam.
"Kita orang berhenti tolong...hubungi ambulans, bomba dan polis dan tolong angkat kereta yang terbalik," kata Pengurus Komunikasi Korporat Zarina Rozali.
Kereta tersebut memotong van Bernama sebelum melanggar pembahagi jalan dan hilang kawalan.
"Kami yang betul-betul ada di tempat kejadian..kita nampak kereta itu berpusing-pusing sebelum terbalik.
"Masa tu tak ada kenderaan lain...kejadian berlaku begitu pantas," katanya yang menaiki van dengan lapan lagi petugas Bernama. 
Zarina menolong menenangkan pemandu wanita berumur 20-an itu yang begitu sedih mendapati adik perempuannya meninggal dunia.
Seorang adik lelaki yang turut menaiki kereta itu cedera.
"Sebagai rakan Akrab, saya rasa jadi tanggungjawab untuk bantu tenangkan mangsa di tempat kemalangan sehingga keluarga dia sampai," kata Zarina.
Program selama empat hari di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di Pekan itu dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak esok.
Bernama menyertai pameran yang dianjurkan sempena program itu dengan menampilkan perkhidmatan dan produk seperti Bernama Radio, Bernama News Channel (BNC) dan Bernama Images dari 9 pagi hingga 10 malam. 
"Bernama buat mini konti, live Facebook Bernama Radio, ujibakat baca berita dan kuiz...," kata Zarina.
Program berbentuk karnival ini diadakan bagi mengetengahkan pelbagai produk dan perkhidmatan agensi kerajaan serta swasta kepada masyarakat.



No comments:

Post a Comment