Wednesday, 8 February 2017

Cadangan adakan Hari Wartawan Kebangsaan...

Oleh Azeman Ariffin
    
Kerajaan merancang mengadakan Hari Wartawan Kebangsaan Malaysia mulai tahun ini bagi menghargai  sumbangan pengamal media terhadap negara.
 Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata sudah tiba masanya untuk mewujudkan penghargaan tersebut bagi meraikan golongan pengamal media.
 Kementeriannya akan berbincang dan bekerjasama dengan kepemimpinan organisasi media dalam negara bagi memilih tarikh dan melaksanakan hari wartawan berkenaan sebagai acara tahunan.
 "Kita juga akan mengundang Persatuan Wartawan Indonesia untuk memeriahkan Hari Wartawan Kebangsaan Malaysia sebagaimana yang dilakukan sempena Hari Pers Nasional yang diadakan di Indonesia pada setiap tahun," katanya.
 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Tamah Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia bersama ketua-ketua pengarang dan editor media Indonesia dan Malaysia di Ambon sempena Hari Pers Nasional Indonesia.
 Lebih 40 pemimpin organisasi media Malaysia dan Indonesia menghadiri majlis itu termasuk Pengurus Besar Bernama, Datuk Zulkefli Salleh dan Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab.
 Hadir sama Penasihat Kanan Agensi Berita Nasional Indonesia (Antara), Saiful Hadi serta Setiausaha Agung Persatuan Wartawan Indonesia, Hendri Bangun.   
 Salleh mengetuai delegasi 20 pengamal media Malaysia bagi menghadiri majlis perasmian Hari Pers Nasional oleh Presiden Joko Widodo esok.
 Beliau berkata, kerajaan juga menghargai kewujudan Iswami (Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia) sebagai satu usaha mengeratkan hubungan antara wartawan Malaysia dengan wartawan Indonesia.
 Katanya, hubungan seumpama itu secara jelas memterjemahkan hubungan serumpun antara rakyat di kedua-dua buah negara.
 "Dalam soal serumpun, kita harus meningkatkan lagi hubungan kerjasama dan harus bersikap terbuka dengan tidak menganggap perbezaan sebagai penghalang dalam sebarang kerjasama," katanya.
 Sementara itu, Zulkefli yang juga Presiden Iswami Malaysia, berkata, undangan kepada pengamal media Malaysia untuk menyertai Hari Pers Nasional Indonesia itu adalah sebagai satu peluang untuk membuka pintu kerjasama antara rakyat Malaysia dan Indonesia.
   Katanya, hubungan itu telah mengeratkan hubungan sesama insan serumpun dan
juga berkongsi persefahaman mengenai persamaan budaya dan bahasa.
   --BERNAMA
   










No comments:

Post a Comment