Wednesday, 1 February 2017

Dego Ride muncul di Kuala Lumpur...

 Wilayah Persekutuan menyambut ulangtahun penubuhannya hari ini dengan pelbagai harapan disuarakan penduduknya.
 Antara perkara yang menjadi perhatian mereka ialah pengangkutan awam yang cekap dan murah.
Bagi memenuhi hasrat tersebut, muncullah perkhidmatan 'teksi motosikal' dikenali sebagai Dego Ride di Kuala Lumpur sejak November lepas.   
 Beroperasi menggunakan aplikasi maya, perkhidmatan itu semakin popular di kalangan warga kota sebagai alternatif murah dan pantas untuk mengatasi kesesakan di ibu negara. 
 Perkhidmatan itu yang menyamai 'ojek' di Indonesia dan 'motorsai rap chang' di Thailand menawarkan tambang serendah RM2.50 untuk perjalanan sejauh 3 kilometer dan tambahan 60 sen bagi setiap kilometer berikutnya.
 Dalam kerancakan minat terhadap Dego Ride, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi menyatakan kementerian itu tidak pernah mengeluarkan permit dan lesen untuk perkhidmatan 'teksi motosikal' bagi pengambilan penumpang menggunakan motosikal. 
 "Setakat ini, tiada lesen dikeluarkan untuk lesen teksi motosikal, kalau mereka membuat perniagaan, ia menyalahi Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen keselamatan jalan raya peringkat Wilayah Persekutuan pada 24 Januari lepas.
  Beliau berkata kerajaan hanya membenarkan perkhidmatan Uber dan GrabCar, yang beroperasi menggunakan aplikasi maya, dan perkhidmatan itu akan dibentangkan di Parlimen pada persidangan akan datang.
  Keesokannya, Ketua Pegawai Eksekutif MyInteractive Lab Sdn Bhd, yang mengendalikan Dego Ride, Nabil Feisal menyatakan syarikat itu bersedia berbincang dengan agensi-agensi berkenaan dalam soal pemantauan perkhidmatan itu.
  Ketika ditemubual dalam siaran pagi Bernama Radio, beliau berkata syarikat itu merancang memperluaskan perkhidmatan ke Pulau Pinang dan Johor Baharu setelah mendapat sambutan menggalakkan di Lembah Klang.
  Kini terdapat 5,500 peserta (Rider) yang berdaftar dengan syarikat itu dalam masa tiga bulan perkhidmatan dimulakan.
  "Pada hari pertama pelancaran, kami terima 600 permintaan," katanya.
  Penunggang diberikan latihan asas keselamatan manakala motosikal mereka dipastikan dalam keadaan baik.
  Motosikal yang digunakan pula ialah 150 cc ke bawah dan berusia lima tahun ke bawah. 
  "Daripada statistik kami setelah tiga bulan beroperasi, tidak ada langsung kemalangan dicatatkan -- kosong," katanya.
  "Data kami juga menunjukkan Rider ini boleh memperolehi antara RM1,800 hingga RM2,500 sebulan, malah ada yang melebihi RM3,000," katanya.
  Menurutnya, perkhidmatan itu beroperasi 24 jam -- sesuai terutama bagi pekerja yang tamat syif pada tengah malam untuk pulang ke rumah.
  Syarikat itu turut mengambil 'rider' wanita memandangkan ramai pelanggannya adalah  wanita.
  "Dua minggu setelah memulakan perkhidmatan, kami dapati 80 peratus pelanggan adalah wanita," katanya.
  Seorang pendengar bertanyakan Nabil sama ada pernah berdepan dengan masalah penumpang 'overweight'  dan apa yang dilakukan untuk mengatasi masalah itu.
  "Sebenarnya pernah berlaku...kita dapatkan motosikal lain untuk membawa penumpang itu," katanya. 
 "Kami juga meminta rider  tidak mengambil job jika hujan walaupun hujan renyai di pick-up point demi keselamatan," katanya.         
  Dego diasaskan daripada ungkapan 'delivery atau despatch on the go'.

No comments:

Post a Comment