Bernama News Channel (BNC) menyambut ulangtahun kesembilan dengan harapan untuk berdaya saing memandangkan perkembangan menggalakkan yang dilaluinya.
Pengarah Operasi BNC Hakimi Mohd Zain yakin kejayaan itu dapat dicapai dengan semangat yang ditunjukkan oleh para petugas.
"Kami menyambut ulangtahun ini secara sederhana sahaja. Semua juadah dan persiapan disediakan oleh kakitangan BNC sendiri.
"Setelah mengharungi beberapa tahun yang sukar, saya gembira melihat kakitangan beriya-iya sangat ingin mengadakan sambutan ini," katanya.
Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh turut menghadiri sambutan tersebut.
"Saya harap tahun ini dan tahun-tahun hadapan akan mendatangkan lebih kejayaan kepada BNC. Saya nampak kejayaan itu akan tiba...kejayaan meraih penonton, penyampaian maklumat dan terutama sekali daya saing," kata Hakimi.
"Kalau boleh biarlah BNC ini independent dari Bernama dari segi pembiayaan.
Ia akan mengurangkan beban tanggungan kewangan Bernama kepada BNC.
"Saya rasa itu akan tercapai dalam tiga, empat tahun lagi," katanya.
Keyakinan itu didorong oleh perkembangan menggalakkan yang dialami oleh saluran itu.
"Sejak kebelakangan ini, BNC didatangi ramai yang berminat untuk melabur.
"Jika trend ini berpanjangan, kemungkinan BNC tidak akan mempunyai cukup airtime untuk menampung kehendak pelanggan.
"Program berkonsep baharu yang telah disusun rapi juga akan berjaya menarik pengiklan-pengiklan baharu," katanya.
Dikenali sebagai Bernama TV sebelum ini, saluran itu melancarkan penjenamaan semula sebagai Bernama News Channel (BNC) pada 25 Mei tahun lepas.
Ia turut memperkenalkan logo dan warna baharu serta meningkatkan kandungan siarannya untuk memenuhi citarasa pelbagai peringkat penonton.
Selain buletin berita, program utama saluran itu ialah slot bual bicara BERNAMA TODAY, The Nation, Hello Malaysia serta Ruang Bicara.
Program lain termasuk Jurnal Bernama, Telecine serta Salam Dari Jakarta, program kerjasama dengan agensi berita ANTARA di Indonesia.
Menggunakan tagline "Baharu & Benar", BNC sentiasa menekankan laporan yang tepat dan berwibawa (credible).
BNC boleh ditonton di saluran 502 Astro, Saluran 401 Hypp TV, MyTV 121 dan webtv.bernama.com.