Tuesday, 24 January 2017

Zid atur strategi kecemerlangan foto...

Bagi Zid Omar, pelantikannya sebagai ketua jurufoto membawanya kembali berkhidmat di bahagian foto untuk "membantu merancang legasi kecemerlangan meja foto".
"Apabila menerima tawaran untuk kembali ke meja foto, saya mula mengimbau kembali tugas lama semasa menjadi Timbalan Ketua Jurufoto yang mana ideanya masih tertunggak dan belum dilaksanakan sepenuhnya," katanya. 
"Bermula daripada tarikh lantikan 1 Januari 2017 saya mula mengatur strategi dan teknik untuk menjaringkan gol," kata Zid yang bertugas di meja berita selama dua tahun sebelum diberikan amanah mengetuai meja foto. 
Langkah pertama yang diambilnya ialah berusaha menceriakan suasana tempat kerja.
"Mungkin ia membosankan bagi sesetengah jurufoto berada dalam suasana kerja yang sempit dan kekurangan tempat duduk ekoran pengubahsuaian bilik...saya susunatur kembali meja-meja petugas.
"Kerusi bilik tetamu dibawa keluar dan digantikan menjadi ruang perbincangan (small group discussion) dan diletakkan white board supaya memudahkan para petugas faham segala teori dan perancangan foto.
"Dari sudut falsafahnya, kalau kita mahu berubah, kita mesti berubah dari sekarang. Jangan tunggu lama-lama.
"Perbincangan dibahagikan kepada beberapa kumpulan tertentu dan ianya adalah positif.. nampak mereka lebih yakin dengan kerjaya mereka dan terarah dengan bimbingan yang diberikan," katanya.
Zid berkata perbincangan dengan para jurufoto membolehkan beliau mengetahui masalah mereka. 
"Masalah mereka adalah tanggungjawab saya sebagai fasilitator atau pemudahcara untuk mencari jalan penyelesaian," kata Zid yang telah berjumpa dengan kumpulan pegawai bertugas (OC), kumpulan senior dan junior, penulis kapsyen, editor foto dan Ketua Pengarang sejak tiga minggu lepas.
"Saya telah menghubungi semua petugas di biro-biro dan bertanya khabar dari masa ke semasa. Segala pandangan mereka saya ambil perhatian.
"Tapi saya tidak berjanji apa-apa....cuma setengah mereka seronok bila saya ambil berat pasal mereka mengenai tugasan harian," kata Zid yang menyertai Bernama pada 1 April 1992 dengan pengalaman bekerja di beberapa syarikat penerbitan.
Belajar seni foto di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak pada tahun 1988, Zid berkata bakat jurufotografi perlu ditambah nilai.
"Mereka bukan sahaja punya idea ambil gambar tetapi perlu ada penambahan asas penulisan foto esei dan merakam video menggunakan kemahiran mereka sendiri.
"Dunia fotografi pantas berubah dari hitam putih ke warna, era filem ke digital.... bayangkan satu hari nanti jawatan jurufoto juga akan berubah. 
"Sekarangpun telah berubah menjadi "Jurufotografi". Apa maksudnya itu?
"Ia satu fenomena jika bakat tidak ditambah atau mereka mahu kekal dengan satu bakat sahaja bermakna bakat mereka akan tenggelam dengan era "multimedia" yang menekankan lima elemen lain iaitu foto, video, audio, grafik dan text.
"Jadi apa kita tunggu lagi. Apakah langkah kita untuk ke arah itu. Apakah asas dan kemudahan yang harus kita siapkan?
"Kalau nak cerita panjang lebar....saya sedia berbincang dengan mereka tentang cabaran dan masa hadapan meja foto mencari jalan new business secara online," katanya.
"Jadikan masalah sebagai peluang untuk kita berjaya, bukan penghalang," kata Zid yang mempunyai ijazah Sarjana Muda Komunikasi Korporat dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan pernah menjadi tutor sambilan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) semasa berkhidmat di Johor.


1 comment:

  1. Terbaiklah. Semoga impian saudara akan menjadi kenyataan !

    ReplyDelete