Sunday, 1 January 2017

Malam Media Perak 2016...


Majlis Malam Media 2016 berlangsung dalam suasana meriah di Ipoh malam ini dengan menghimpunkan lebih 150 pengamal media di negeri itu.
Majlis anjuran Persatuan Pengamal Media Negeri Perak itu diserikan dengan kehadiran Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli.
Menteri Besar dalam ucapannya menghargai sumbangan media yang sentiasa memberi kerjasama baik terhadap kerajaan negeri.
Katanya kerajaan negeri mengambil pendekatan memberi kerjasama kepada media dalam apa jua keadaan termasuk memberi respon sebaik mungkin walaupun melibatkan isu-isu negatif yang dilaporkan media.
“Kita tidak menghalang atau menyekat mana-mana media membuat liputan di negeri ini walaupun mereka membuat laporan yang berunsur negatif terhadap kerajaan negeri. Tak pernah terjadi kita halang sesiapa daripada membuat liputan sidang media.
“Inilah demokrasi yang kita amalkan di negeri ini. Paling penting adalah kita mempunyai kerjasama yang baik dengan pengamal media,” katanya ketika berucap merasmikan majlis makan malam media di Hotel Casuarina@Meru Ipoh.
Turut memeriahkan majlis adalah dengan kehadiran Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Datuk Aziz Ishak; Pengarang KOSMO, Datuk Baharom Mahusin; Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA), Datuk Zakaria Abd Wahab; Pengarang Eksekutif Berita/Rencana/Digital BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Timbalan Pengarang Kumpulan The New Straits Times (NST), Yushaimi Yahya; Pengarang Sunday Star, Esther Ng dan Penolong Pengarang Berita Sinar Harian, Najwa Ghazali.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Ghazali Jalal, barisan Exco, dan Pengerusi PPMP, Sayed Hesham Syed Idris
Pada majlis itu, hampir kesemua media pulang dengan 60 pelbagai hadiah barangan eletrik yang dimenangi melalui cabutan bertuah.
Antara hadiah utama adalah IPhone 7, komputer riba Microsoft surface, televisyen 40’in, peti sejuk, mini bar, mesin basuh, ketuhar, set home theatre, pengisar makanan, kipas angin, dapur masak, basikal, tiket penerbangan ke Bangkok dan Jakarta dan tiket dan penginapan bernilai RM1,000 daripada Lost World of Tambun.
Majlis tersebut bertambah istimewa dengan anugerah istimewa iaitu ‘Wartawan Otai’ yang diberikan khusus kepada pengamal media berpengalaman yang sehingga kini tidak jemu melaksanakan tugas masing-masing.
Pada majlis itu, Menteri Besar turut melakukan gimik pelancaran Tahun Melawat Perak 2017.
Persembahan daripada Kumpulan Selendang Perak, dan Kombo MBI turut memeriahkan suasana di samping persembahan nyanyian dari pengamal media sendiri.
 Datuk Seri Dr Zambry berbual dengan jurufoto Bernama Shahrizan Jeffri Aziz.










No comments:

Post a Comment