Saturday, 7 January 2017

Upin dan Ipin mahirkan mahasiswa Indonesia berbahasa Malaysia...

Kerap menonton siri kartun "Upin Ipin" membolehkan sekumpulan lima pelajar kursus Pengajian Media, Fakulti Komunikasi dari Universiti Sahid di Jakarta memahami bahasa Malaysia.
Mereka menyatakan demikian ketika mengunjungi pejabat Biro Bernama Indonesia di Jakarta bagi mendapatkan maklumat dan mengenali agensi berita Malaysia yang beroperasi di republik itu.
Ketua Biro Bernama Indonesia Azeman Ariffin yang menerima kunjungan mereka memberi taklimat mengenai latar belakang serta perkembangan Bernama yang akan menyambut ulangtahun ke-50 penubuhannya tahun ini. 
Azeman turut memberi penerangan mengenai operasi Bernama dan peranannya sebagai agensi berita bertaraf antarabangsa yang kini mempunyai saluran berita televisyen dan radio.
Menurut para pelajar itu mereka memilih untuk berkunjung ke Bernama bagi menyempurnakan satu tugasan kumpulan kerana minat untuk mengetahui perkembangan mengenai Malaysia.
Para pelajar kemudiannya membuat rakaman video wawancara dengan Ketua Biro dan bertanyakan isu-isu yag berkaitan dengan kebebasan media di Malaysia, peranan Bernama di Indonesia dan juga pengalaman liputan.
Apa yang menarik ialah ketika memberi taklimat, Azeman bertanya kepada mereka:"Faham kah bahasa yang saya gunakan ini kerana saya banyak menggunakan bahasa Malaysia?".
Mereka terus menjawab beramai-ramai: "Faham, kami selalu tengok Upin Ipin dan Bapak cakap hampir sama seperti dalam Upin Ipin" kata mereka sambil ketawa.
Mereka mengakui memahami bahasa Malaysia kerana sering menonton siri kartun "Upin Ipin" yang menjadi kegemaran rakyat negara itu.
Malah mereka bertanya mengenai nilai pertukaran mata wang ringgit kerana dalam siri kartun itu sering menyebut matawang Malaysia.
Siri kartun Upin Ipin sememangnya mendapat tempat sebagai kartun paling diminati oleh anak-anak muda dan kanak-kanak di Indonesia.
Mereka dikatakan meniru percakapan dan bahasa yang digunakan oleh Upin Ipin sehingga ada yang memanggil nenek mereka sebagai Opah dan menyebut mata wang rupiah sebagai ringgit.  
Setelah mendengar taklimat dan sesi soal jawab, para pelajar itu menyatakan mereka lebih memahami Malaysia kerana Azeman turut menceritakan sejarah kesultanan Melaka yang mempunyai kaitan sejarah Indonesia.
"Sekarang kami lebih faham kenapa budaya kita hampir sama Pak, kami ingin ke Malaysia kalau bisa (boleh) mahu magang (internship)  di Bernama," kata mereka. 

No comments:

Post a Comment