Thursday, 26 January 2017

Meningkatkan kecemerlangan liputan...

Foto para petugas Keretapi Tanah Melayu (KTM) berusaha membaikpulih landasan yang rosak akibat banjir di Segamat menjadi pilihan akhbar The Star untuk muka depannya hari ini.
Foto yang dirakam jurufotografi Shaifuldin Ahmad itu merupakan antara foto-foto  yang dikeluarkan Bernama sekitar banjir yang melanda seluruh negara.
Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab menarik perhatian mengenai foto itu semasa mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan, yang pertama tahun ini, dipengerusikan Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh.
Penggunaan foto dan berita Bernama yang semakin meningkat di kalangan pelanggan media menunjukkan “kita menghampiri kepada keperluan mereka,” katanya.
“2016 merupakan kecemerlangan yang tinggi dari segi liputan,” katanya.
Antara liputan berkenaan ialah pilihan raya negeri Sarawak, persidangan Asean dan acara sambutan kemerdekaan.
Sambutan juga melonjak dari segi penggunaan media sosial oleh Bernama untuk menyalurkan berita dan maklumat.
“Ini merupakan peluang terbaik untuk kita bersaing di media sosial,” katanya dan berharap keupayaan ini dapat dikembangkan dengan perkhidmatan baharu Bernama Multimedia News Centre (BMNC).
Sasaran yang diletakkan ialah mendapatkan 1 juta pengikut (followers) bagi Twitter Bernama tahun ini.
Ketika ini, pengikut Twitter Bernama mencecah 520,000 orang.
Beliau berkata Jabatan Pengarang akan berusaha membuat peningkatan dari segi liputan serta kualiti berita.
“Umumnya saya tak bagi ‘A’ tapi ‘B’ bagi tahun 2016,” katanya.
Pengurus Kanan Perkhidmatan Media dan Pengkalan Data, Puan Rita Gomez berkata ada akhbar yang telah menggunakan infografik Bernama untuk muka depannya.
“Memang ada penggunaannya dan ini harus diteruskan,” katanya.

No comments:

Post a Comment