Monday, 30 January 2017

Program ke Kuala Medang mungkin ditangguh...


Program rekreasi "Kuala Medang - Back to Nature" anjuran Kelab Kakitangan Bernama (KKB) mungkin terpaksa ditangguhkan atas faktor cuaca.
"Kami terima maklum balas yang baik berkenaan program tersebut, cuma kami mungkin akan menangguhkan dahulu sebab keadaan cuaca yang tidak baik dan banjir (baru-baru ini) di Kuala Lipis," kata seorang anggota jawatankuasa (AJK) KKB.
Penangguhan itu difikirkan perlu "untuk mengelakkan sebarang risiko dan demi keselamatan ahli KKB memandangkan tempat tersebut bersebelahan dengan sungai," katanya.
"Buat masa ni kami hanya menerima borang sahaja. InsyaAllah sekiranya keadaan cuaca kembali seperti biasa kami akan laksanakan.
Program itu sepatutnya diadakan pada 4 dan 5 Februari ini.
Tarikh tutup penyertaan ialah jam 3 petang, 2 Februari ini dengan bayaran RM200 setiap peserta, menurut makluman yang telah dikeluarkan KKB.
Ia juga memaklumkan bahawa taklimat program itu akan diadakan pada Jumaat 3 Februari ini jam 3.30 petang di Tingkat 11.
"Buat masa ni berdasarkan perbincangan bersama AJK yang lain, kami bersetuju untuk menangguhkan dahulu," kata AJK berkenaan.
"InsyaAllah kami akan update sebarang makluman terkini berkenaan program tersebut," katanya.

Jalan menuju Kuala Medang merupakan antara laluan di Pahang yang ditutup semasa banjir 25 Januari lepas.

Kesan banjir itu difahamkan masih kelihatan di kampung tradisional itu yang terletak di tebing Sungai Jelai, 50 km dari Kuala Lipis.
Program ke Kuala Medang dicadangkan oleh seorang anggota jawatankuasa KKB yang pernah ke tempat tersebut yang telah memenangi beberapa anugerah pelancongan termasuk pada peringkat kebangsaan.
Program itu mensasarkan dalam lingkungan 23 peserta mengikut jumlah katil yang disediakan oleh pengusaha.
"Buat masa ni, berdasarkan perbincangan tempoh hari, kami akan menggunakan kenderaan AJK KKB untuk ke sana," kata AJK berkenaan.
Antara aktiviti yang diatur ialah menyusuri Sungai Jelai, mandi manda di sungai, melihat aktiviti kampung termasuk pertunjukan gasing dan pengalaman menoreh getah serta sukaneka.

No comments:

Post a Comment