Saturday, 21 January 2017

'Berita Bernama' dalam kenangan...

Keluaran sulung 'Berita Bernama'
Satu ketika dahulu, majalah dalaman (newsletter) 'Berita Bernama' amat popular di kalangan kakitangan. 
Ketika ia mula diterbitkan, Facebook tidak adapun dalam bayangan.
'Berita Bernama' lah yang menyediakan ruang untuk warga Bernama mengenali sesama mereka serta aktiviti yang berlaku di Bernama.
Dalam keluaran sulungnya bertarikh 1 Julai 1976, Pengurus Besar Encik Dol Ramli (kemudian Tan Sri) berasa gembira mengalu-alukan kemunculan Berita Bernama, penerbitan dua bulan sekali, mulai tarikh tersebut.
Beliau berdoa agar para petugas Bernama bukan sahaja menikmati dan mendapat faedah daripada kandungannya bahkan jua menyumbangkan bahan-bahan yang berguna dan menarik.
Mereka juga boleh mengemukakan syor dan teguran membina dalam menjaga nama baik dan mutu aktiviti Bernama.
Keluaran 16 muka itu turut mengandungi perutusan Ketua Pengarang Encik Salleh Daud yang mengharapkan Berita Bernama menghidangkan berita-berita sekitar pertubuhan ini hinggalah kepada pengalaman seseorang mengenai kerjaya dan tugasannya di dalam dan luar negara.
Bagi mempastikan penerbitannya dilakukan secara tetap berkala, 'Berita Bernama' diletakkan di bawah kelolaaan dan pengawasan sebuah jawatankuasa editorial.
Beliau mengakui bahawa satu masalah besar yang dihadapi oleh Bernama ialah kekurangan kakitangan yang mahir dan terlatih dalam bidang pengkhususan.
Latihan yang diusahakan Bernama untuk meningkatkan penghasilan berita yang bertambah baik dan cepat boleh menjadi bahan majalah itu untuk dikongsi.
Keluaran itu juga melaporkan mengenai kakitangan -- ada yang naik pangkat, bertukar jawatan atau tempat kerja dan ada pula yang berhenti untuk menerima pekerjaan lain. 
Beberapa pengambilan baharu juga dilaporkan dalam keluaran itu yang disimpan secara digital oleh Pusat Maklumat dan Perpustakaan Bernama (Infolib).
Malahan Infolib dengan gigih telah 'mengarkibkan' setiap keluaran 'Berita Bernama' untuk ia mudah dan cepat diakses.
Keluaran terakhir majalah itu diterbitkan dengan nama 'Buletin BERNAMA' pada Januari 2008.  
Pengurus Infolib Puan Hasnita Ibrahim berkata 'newsletter'' Bernama, sebagaimana berita-berita yang dikeluarkan Bernama, merupakan khazanah yang perlu dipulihara.  
"Newsletter Bernama, memang digital kerana risau ia hilang kalau diletak di rak sahaja," katanya.
Langkah pendigitalan juga "untuk mudah akses dan dipelihara sampai ke anak cucu," katanya.
"Itulah yang saya selalu sebut...sebagai library peranan kami memang untuk memulihara dan lebih penting mudah serta cepat dapatkan semua berita lama," kata Puan Hasnita.
"Berita Bernama menjadi rujukan penting kerana ia adalah mengenai Malaysia dan kita mempunyai pelanggan merentasi negara...semuanya boleh diakses melalui BLIS (Bernama Library and Infolink Service)," katanya.





No comments:

Post a Comment