Friday, 13 January 2017

Benita 'menang besar' ...

Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (Benita) melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang untuk menjayakan mesyuarat agung Puspanita cawangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) ke-34 semalam.
Benita, yang memegang biro dokumentasi dan seranta Puspanita Cawangan KKMM, dipertanggungjawab menerbitkan Buletin serta merekabentuk dan mencetak laporan tahunan untuk mesyuarat agung itu.
“AJK kita kerja sampai malam untuk siapkan kedua-dua makalah ini untuk edaran semasa AGM,” kata Pengerusi Benita, Datin Rohana Mustaffa.
Seramai 15 orang anggota Benita menghadiri mesyuarat agung itu yang dirasmikan oleh Datuk Raya Erom, isteri Menteri Komunikasi dan Multimedia.
Datin Rohana berkata Benita “menang besar” pada mesyuarat agung itu apabila anggota-anggotanya menang cabutan bertuah termasuk hadiah utama berupa televisyen.

Anugerah Anak Cemerlang kerana kejayaan mendapat 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia juga dimenangi anak Puan Sharifah Munirah Syed Abdullah, pembantu khas Ketua Pengarang.
Mesyuarat dan aktiviti peringkat KKMM mendekatkan anggota dengan kakitangan wanita agensi-agensi lain dan ini mengeratkan silaturrahim, kata Datin Rohana.
Melalui Puspanita KKMM membolehkan anggota-anggota Benita, yang kini berjumlah 215, turut serta dalam aktiviti Puspanita kebangsaan.
“Sekarang makin ramai (yang sertai Benita)…hampir tiap bulan ada aktiviti,” kata Datin Rohana. Keanggotaan terbuka kepada kakitangan wanita dan isteri kakitangan Bernama.
Bagaimanapun katanya para pegawai kanan wanita serta isteri pegawai kanan masih kurang menganggotai Benita.
“Dulu saya pun tak berapa kisah dengan Benita, tapi saya dah biasa aktif dalam KKB (Kelab Kakitangan Bernama) sebagai AJK dan pernah menjadi presiden untuk satu penggal. Sejak tidak aktif dalam KKB, saya cuba cergaskan Benita,” katanya.
“…saya dah wujudkan ahli bersekutu yang hanya aktif untuk peringkat Bernama sahaja terdiri daripada bekas kakitangan wanita Bernama/pekerja kontrak,” katanya.
Foto-foto Datin Rohana Mustaffa

No comments:

Post a Comment