Wednesday, 25 January 2017

Minat dorong berniaga sambilan...

Minat memasak dan berniaga mendorong wartawan Norhayati Mohd Akhir menjadi “usahawan sambilan”.
“Meniaga kali pertama di Bernama semalam sebagai 'pilot test'. Hasil feedback yang kami dapat, kami jadikan sebagai rujukan dan akan tambah baik menu kami jika ada peluang berniaga lagi di Bernama,” katanya.
Beliau dan kawan serumah Nadia Zaman dari Bernama News Channel menyertai Mini Showcase Ong Mali anjuran Koperasi Bernama Berhad (KBB) di lobi Wisma Bernama semalam. Mereka menjual laksa dan nasi kerabu.
“Saya dan Nadia serta Dayana Nabila (jurufoto) memang minat berniaga… Alhamdulilah jumpa kawan-kawan yang ada minat berniaga,” kata Norhayati yang berhasrat mempelajari lebih banyak lagi dari segi memasak.
“Kami bercadang mendapatkan tapak untuk meniaga di bazar Ramadhan berhadapan Wangsa Walk tahun ini, insyaAllah,” kata beliau yang mengambil cuti untuk berniaga semalam.
“Ketika housemate maklum pasal nak berniaga di Bernama, saya di kampung …maka saya ambil resepi dari ibu saya ketika itu.
“Sebelum ini pun jika ada peluang berniaga, saya akan ambil cuti, nak tambah pendapatan selain hobi.
“Rasa berdebar juga jual di pejabat sebab pelanggan adalah bos dan kawan-kawan serta rakan sekerja lain,” katanya.
Tahun lepas,beliau berniaga nasi daging utara dan potato spring  pada Pesta Konvo Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) – universiti tempat beliau menuntut.
“Saya juga tolong ibu Dayana niaga dekat bazar Ramadhan jika ada masa lapang,” kata anak bungsu dari lima adik beradik itu.
Minat berniaga juga disebabkan ibunya sebelum ini menjual nasi kerabu dan kuih muih setiap hari termasuk bulan Ramadhan.
Bagi Mini Showcase itu, Norhayati dan Nadia mula membuat persediaan pagi Isnin dengan membeli barang-barang segar di Seri Ternak, Selayang.
“Persediaan laksa dan nasi kerabu agak renyah sikit…Ulam-ulaman seperti pucuk putat, daun serlom dan pucuk serai kayu saya bawa dari kampung.
“Tempoh persediaan agak lama kerana memasak laksa dan nasi kerabu ada pelbagai peringkat (rebus ikan, asingkan isi dan tulang, kisar ikan  …).
“Untuk birukan warna nasi kerabu, saya guna bunga kacang telang yang saya bawa dari kampung,” kata Norhayati yang menyertai Bernama pada 2010.
“Saya memang tidak terlintas untuk jadi wartawan….saya lulusan UIAM dalam bidang Perhubungan Awam pada tahun 2008.
“Pekerjaan pertama saya adalah 'Market Research Exec' di sebuah syarikat swasta selama tiga tahun.
“Ketika menjawat jawatan itu, saya mencuba mengisi borang jawatan kosong Bernama sebagai Pegawai Berita. Dan saya tidak sangka rezeki saya di sini,” kata beliau yang berasal dari Kedah.
Penolong Setiausaha KBB Siti Kadtijah Hamid berkata maklum balas yang diterima daripada para peserta amat menggalakkan.
“Jualan macam pisang goreng,” katanya.
Ia menampilkan 10 penyertaan yang menjual produk seperti makanan (sandwich, spaghetti, rendang ayam, nasi kerabu, laksa) barangan masakan (rempah ratus, ikan pekasam, sos pasta dan lain lain), pakaian,  kain pasang, kain songket dan produk kecantikan.
Acara itu merupakan aktiviti bulanan koperasi.
“Objektifnya ingin membantu ahli ahli koperasi/petugas Bernama untuk menjana pendapatan sampingan di samping menyemai semangat keusahawanan,” katanya.
Penyewaan juga dibuka kepada pihak luar bertujuan mempromosikan koperasi Bernama kepada usahawan luar.
Produk yang didapati berkualiti akan ditawarkan untuk dijual di kedai koperasi di tingkat 8, Wisma Bernama.

No comments:

Post a Comment