Tuesday 13 June 2017

Yayasan Bank Rakyat, Bernama Meterai MoU

Tan Sri Shukry bertukar dokumen dengan Farhan
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Yayasan Bank Rakyat (YBR) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi membekalkan perkhidmatan imej digital dan liputan berita kepada yayasan berkenaan.
Pengurus Besar YBR, Norashikin Shaharudin berkata melalui MoU itu akan membolehkan yayasan mendapatkan perkhidmatan imej fotografi dan mengumpul berita berkaitan yayasan untuk pengumpulan data di Muzium Bank Rakyat.
"Bernama merupakan agensi berita utama negara dan melalui MoU ini akan memudahkan pihak kami mendapatkan perkhidmatan imej fotografi dan berita yang telah kami jalankan untuk dikumpulan dalam data kami," katanya kepada Bernama selepas Majlis Iftar Sempena Sambutan Ulang Tahun ke-10 Yayasan Bank Rakyat, di ibu negara malam ini.
Pada majlis itu, YBR yang diwakili Pengerusinya Tan Sri Shukry Mohd Salleh bertukar-tukar dokumen MoU bersama Pengurus Pemasaran Foto Bernama, Mohd Farhan Mustafa Kamal.
Pada majlis sama, YBR turut menandatangani MoU dengan empat lagi rakan strategik iaitu Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Berita Harian, Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara) dan United Studio.
Menurut Norashikin, kolaborasi itu pula bertujuan untuk melaksanakan pelbagai program pendidikan yang memberi manfaat kepada rakyat.
Pertukaran dokumen Mou turut dilaksanakan antara Shukry dengan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Othman Mohamad; Pengarang Kumpulan Berita Harian Datuk Mahfar Ali; Rektor Aswara Prof Datuk Dr Mohd Rizon Juhari dan Presiden Eksekutif Kumpulan KRU Datuk Norman Abdul Halim yang mewakili United Studio.
"Pelbagai program akan dijalankan dengan rakan strategik ini terutamanya menerusi Pembiayaan Pembelajaran Boleh Ubah (PPBU) iaitu antaranya dengan Utusan Melayu kita laksanakan program tuisyen rakyat dan dengan Aswara kita laksanakan program penajaan untuk menempatkan pelajar di Aswara," katanya.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment