Saturday 17 June 2017

Kakitangan Bernama rugi RM10,200 diperdaya panggilan palsu...

FotoBERNAMA
Seorang kakitangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berputih mata apabila wang simpanannya sebanyak RM10,200 lesap sekelip mata akibat terpedaya dan panik dengan panggilan telefon seorang pemanggil yang menyamar sebagai pihak bank dan polis.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Nadirah, 31, berkata beliau menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mengaku dia daripada sebuah bank, ketika sedang berada di pejabat Selasa lepas.
“Lelaki yang membuat panggilan itu memberitahu yang saya mempunyai tunggakan pinjaman peribadi sebanyak RM50,000 dari sebuah bank di Pulau Pinang.
“Saya terkejut dan beritahu dia bahawa saya tidak pernah membuat sebarang pinjaman atau berurusan dengan bank terbabit. Namun dia kata dia sedang periksa perkara itu dan kemudian memberitahu ada orang lain guna nama saya buat pinjaman yang saya perlu selesaikan.Saya terus menjadi takut dan panik, katanya.
Nadirah berkata lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Fahmi Ismail itu kemudian menyambungkan panggilan kepada kononnya Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang untuk bercakap dengan seorang anggota polis yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Fikri Abdul bagi menerangkan prosedur untuk menyelesaikan perkara terbabit.
Beliau berkata panggilan itu kemudian  disambungkan pula kepada kononnya seorang pegawai  penyiasat dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPK Pulau Pinang yang dikenali sebagai Inspektor Peter Wong.
“Dia meyakinkan saya bahawa saya perlu menggunakan akaun bank sementara berikutan semua akaun bank milik saya akan dibekukan untuk siasatan. Kemudian saya diarahkan memindahkan semua wang yang ada dalam akaun bank saya ke dalam akaun bank yang diberikannya,” katanya.
Nadirah berkata orang itu turut meminta beliau memindahkan wang ke dalam sebuah akaun Bank Rakyat yang menggunakan nama Siti Sarah Abdul.
Beliau berkata orang yang mendakwa sebagai Peter Wong itu turut mengarahkan beliau menghantarkan gambar resit sebagai bukti pemindahan wang ke nombor telefon bimbitnya menerusi aplikasi WhatsApp, namun sebaik pemindahan wang dan bukti resit dihantar ke nombor berkenaan, semua nombor telefon itu gagal dihubungi semula.
Terkilan dan menyedari tertipu akan kejadian itu, Nadirah segera membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak pada Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan itu.
“Kita sudah buka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment