Deretan balang air minuman pelbagai rasa dan warna menarik perhatian pengunjung ketika mencari juadah berbuka puasa di bazar Ramadan.
Namun pandangan pengunjung pasti lebih teralih jika melihat air minuman yang dibungkus dalam plastik bersaiz besar dan digantung seperti di gerai ABC King Kong di bazar Ramadan Satok di bandaraya Kuching.
Menawarkan air minuman yang biasa dijual sepanjang Ramadan, pemilik gerai tersebut Afenddy Ibrahim, tampil berbeza dengan menjual air dalam plastik saiz lebih besar.
“Air yang saya jual ini boleh didapati di bazar Ramadan lain, tetapi saya dapat idea untuk jual dalam plastik lebih besar dan lebihkan isi kandungan dalam setiap plastik tersebut,” katanya kepada Bernama.
Pemuda berusia 28 tahun ini mengendalikan gerai ABC King Kong bersama empat lagi rakan, menawarkan minuman seperti ABC, ABC Special King Kong, White Lady, Laicikang, Jagung Susu, Jagung Gula Apong, Asamboi, Limau Mantak (limau kasturi) dan Laici.
Keunikan gerai itu menjadi tular di Facebook sehingga bilangan pengunjung meningkat.
“Memang terkejut bila gerai ini jadi viral dan ramai pelanggan datang sampai tak menang tangan, sampai kadangkala tak sempat gantung lagi orang dah pesan. Apapun syukur dengan rezeki Allah,” kata Affendy.
Hasil jualan airnya mampu mencecah antara RM200 hingga RM300 sehari.
“Pendapatan Alhamdulillah… memang bulan puasa ini kita dapat cari rezeki lebih. Niat saya dalam berniaga untuk turut sama bersedekah dan beri peluang rakan-rakan bekerja serta lebihkan isi kandungan dalam jualan. Sekiranya lepas ini ada orang tampil dengan idea sama itu rezeki masing-masing,” katanya.
Bulan Ramadan juga menimbulkan banyak kenangan berpuasa terutama semasa zaman kanak-kanak. Jika sekarang amat mudah bagi peniaga minuman seperti Affendy membungkus jualan mereka, keadaannya tidak sama waktu dahulu.
Generasi berusia 40-an ke atas mungkin ingat bagaimana air batu dijual dengan bersalut sekam kayu – pengalaman yang tidak dialami kanak-kanak sekarang.
Dalam internet, banyak kisah diceritakan mengenai habuk kayu ini yang dikatakan masih digunakan secara meluas sehingga era 70-an terutamanya bagi mereka yang tinggal di kampung dan tidak mempunyai bekalan elektrik.
“Pada zaman teknologi habuk kayu ini memang ramai peniaga yang mengambil kesempatan di bulan Ramadan untuk menjual ais menggunakan kaedah ini,” menurut satu catatan blog.
Menjelang petang, para peniaga akan membawa air batu yang diletakkan dalam tong kayu yang dipenuhi habuk kayu gergaji. Ia bertujuan melambatkan air batu daripada cair.
Apabila ada pembeli, air batu akan dikeluarkan daripada tong kayu untuk dibersihkan sedikit sebelum dipotong menggunakan gergaji.
Peniaga akan memotong ais mengikut permintaan pembeli seperti dengan harga 10sen, 20 sen atau 30 sen.
Setelah dibayar, air batu akan disalut dengan habuk kayu gergaji sebelum dibungkus dengan surat khabar untuk dibawa balik.
Setiba di rumah, air batu biasanya disimpan dalam termos supaya tidak cair sementara menunggu waktu berbuka puasa.
"Sehingga lewat 70-an, menjadi perkara biasa kita membeli ais ketul atau ais bantal bersalut sekam," kata Editor Foto Adnan Jahaya.
"Sehingga lewat 70-an, menjadi perkara biasa kita membeli ais ketul atau ais bantal bersalut sekam," kata Editor Foto Adnan Jahaya.
Semasa zaman remajanya, beliau sentiasa menunggu penjual air ketul yang berbasikal ke kawasan rumahnya sekitar jam 4 petang.
"Dia turut membawa gergaji dalam bekas di belakang basikalnya yang tersimpan ais jualannya," katanya.
Menurutnya, air batu bersalut sekam yang dibalut dengan kertas surat khabar dijinjingnya pulang dan disimpan dalam lubang tanah.
"Dalam lubang tanah itu ada sekam dan sesekali diletakkan juga habuk kayu...menjelang Maghrib, lubang sedalam dua kaki itu digali semula untuk mendapatkan semula ais ketul itu," katanya.
"Ais ketul bagaikan satu kemestian pada Ramadan kerana ia sebagai asas penyediaan minuman sejuk seperti serbat, air lengkong (cincau) dan minuman sejuk lain termasuk teh, kopi dan Milo.
"Sekarang semua orang dah ada peti ais dan perniagaan ais ketul amat sukar ditemui. Yang ada hanya ais kiub yang dijual secara runcit di kedai-kedai," katanya.
No comments:
Post a Comment