Tuesday 13 June 2017

Mesyuarat biro zon utara...

Editor Foto Adnan Jahaya mengimbau kembali mesyuarat Ketua-ketua Biro Bernama zon utara yang baharu diadakan di Pulau Pinang.
“Sebaik menerima arahan untuk menghadiri mesyuarat Ketua-ketua Biro Zon Utara di Pulau Pinang, terfikir tentang agenda besar yang akan dibincang khususnya persiapan pilihan raya umum yang bakal tiba. Tidak seperti Ramadan yang hadir saban tahun namun pilihan raya juga pasti hadir setiap lima tahun atau kurang dari itu. 
Pada Jumaat lepas, saya bersama Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Dalam Negeri) Datuk Mokhtar Hussain dan Ketua Editor Tugasan Bernama News Channel (BNC) Haji Abdul Rahman Ahmad berkereta hampir 300 kilometer ke The Light Hotel, Seberang Jaya yang menjadi lokasi mesyuarat. Acara pertama sebaik tiba di situ ialah berbuka puasa.
Berbuka puasa di restoran nasi kandar
Lokasi berbuka puasa yang telah ditempah oleh Biro BERNAMA Pulau Pinang bukan di hotel berkenaan tetapi di sebuah restoran nasi kandar di Jalan Gurdwara.  Deen Maju Nasi Kandar yang bertempat di sebuah bangunan lama mempunyai keunikan tersendiri adalah antara restoran yang begitu popular di Pulau Pinang dan melihat ramai yang beratur untuk mendapatkan nasi kandar terutama untuk berbuka puasa membuktikan ia mempunyai keenakan tersendiri.  Kami menikmati hidangan yang menyelerakan dan majlis berbuka berakhir dengan rasa puas.
Selepas berbuka masing masing mempunyai acara tersendiri kerana keesokannya akan bermula mesyuarat penting bagi peringkat zon utara. Mesyuarat dirasmikan Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh dan penutupnya oleh Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abd Wahab. 
Melihat pembentangan demi pembentangan mengenai situasi semasa di negeri-negeri utara oleh ketua-ketua biro membuktikan mereka telah bersedia untuk liputan terbaik Pilihan Raya Umum ke-14.
Para editor dari ibu pejabat juga turut membentangkan perkembangan terkini di peringkat ibu pejabat dan turut menghulurkan cadangan-cadangan untuk dilaksanakan di peringkat biro.
Ketua Penyunting Bahasa Melayu PBDN Datin Rohana Mustaffa juga sempat bersama-sama dalam mesyuarat walaupun dalam keadaan demam dan terpaksa pulang lebih awal ke Kuala Lumpur kerana tahap kesihatannya tidak mengizinkan.
Mesyuarat berjalan lancar dengan semua pihak mengambil bahagian secara aktif dan menyumbang pemikiran ke arah kebaikan liputan BERNAMA. Pastinya rakaman penghargaan turut dihulurkan kepada Biro Pulau Pinang yang menjadi tuan rumah, yang terbaik bukan sekadar jamuan nasi kandar tetapi menguruskan lokasi menyuarat yang sempurna.
Selepas selesai bermesyuarat, sesi bergambar dengan semua peserta mesyuarat berpakaian baju T yang ditempah khas untuk sambutan jubli emas BERNAMA. Semuanya nampak bergaya dengan baju yang tertera tulisan berwarna emas 50 tahun BERNAMA.
Selepas ini mesyuarat seumpamanya akan diteruskan pula ke zon selatan dan timur tetapi tarikhnya belum diputuskan. Pastinya ia akan berlangsung selepas hari raya Aidil Fitri."




No comments:

Post a Comment