Thursday 8 June 2017

Jaguh-jaguh sukan meriahkan Amanat Merdeka...

Jaguh-jaguh sukan negara akan diundang untuk acara Amanat Merdeka 2017 bagi menyemarakkan semangat patriotik dan perpaduan negara.
Amanat Merdeka tahun ini akan diadakan di Auditorium Perdana, Angkasapuri pada pukul 4 petang, 30 Ogos ini.
Acara diadakan pada sebelah petang kerana upacara penutup Sukan SEA akan berlangsung pada sebelah malamnya. 
Tema Amanat Merdeka kali ini ialah 'NegaraKu Sehati Sejiwa''.
Kehadiran jaguh-jaguh sukan akan memeriahkan acara memandangkan temasya sukan terbesar Asia Tenggara yang diadakan ketika itu.  
Bernama sekali lagi diberi kepercayaan mengendalikan Amanat Merdeka yang akan disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ini merupakan tahun keempat berturut-turut Bernama diberi kepercayaan itu setelah pertama kali melaksanakannya dengan jaya di Dewan Tunku Abdul Rahman di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang pada tahun 2014.
Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya di mana perutusan Perdana Menteri  dibuat secara rakaman dan disiarkan menerusi radio dan televisyen, Datuk Seri Najib memilih untuk menyampaikan amanat secara langsung pada tahun tersebut dan kemudiannya menjadi acara tahunan.
Penyertaan jaguh-jaguh sukan dalam acara kali ini merupakan antara cadangan yang dikemukakan pada mesyuarat penyelarasan Amanat Hari Kebangsaan yang dipengerusikan Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh di Wisma Bernama pagi ini.
Wakil dari pelbagai jabatan dan agensi Kementerian Multimedia dan Komunikasi hadir pada mesyuarat itu yang pertama kali diadakan bagi membincangkan pengendalian acara tahun ini.
Mesyuarat juga membentuk sembilan jawatankuasa yang diterajui pelbagai jabatan dan agensi berkenaan serta turut melibatkan jabatan dan agensi kerajaan berkaitan dari kementerian lain.
  

No comments:

Post a Comment