Tuesday 9 December 2014

Suntikan semangat kecemerlangan Bernama...

FotoBERNAMA


Pelantikan Datuk Zulkefli Salleh sebagai Pengurus Besar baharu dan Datuk Zakaria Abdul Wahab sebagai Ketua Pengarang berkuat kuasa hari ini akan menyuntik semangat lebih tinggi untuk meningkatkan prestasi dan kecemerlangan Bernama, kata Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman.
Zulkefli, 58, menggantikan Datuk Yong Soo Heong yang bersara wajib pada Oktober lepas.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarang Audio Visual Mokhtar Hussain, 53, dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri menggantikan Zakaria, 57.
Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Mikhail Raj Abdullah, 57 disahkan menyandang jawatan itu.
"Saya berharap mereka mampu membawa Bernama dalam era transformasi media kini dan menjadi agensi berita yang unggul.
"Selain itu kita juga berharap Bernama dapat memainkan peranan lebih penting dalam memberi penjelasan dan maklumat kepada umum terutama dengan kedudukan Malaysia kini sebagai pengerusi Asean dan bersempena pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) April tahun depan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Lembaga Pengelola.
Sementara itu, Zulkefli menyifatkan jawatan baharunya itu sebagai satu amanah yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab terutamanya ketika organisasi media, termasuk Bernama, berdepan pelbagai cabaran dan saingan hebat daripada media sosial dan digital.
"Seperti media-media lain, Bernama juga sedang menjalani transformasi seiring dengan cabaran masa kini.
“Saya yakin dengan kerjasama semua pihak di dalam agensi ini, segala amanah yang diberikan akan dilunaskan dengan sebaik mungkin," katanya.
Beliau berkata beberapa perubahan, khususnya dalam aspek pemberitaan dan laporan akan dilakukan dalam usaha melaksanakan transformasi Bernama, mulai tahun depan.
"Sekarang hampir semua orang boleh jadi wartawan ... bezanya kita (Bernama) punya kredibiliti yang tinggi dan hanya mengeluarkan berita yang sahih. Aspek kredibiliti itu akan kita pastikan dipulihara dan ditingkatkan supaya Bernama dapat terus kekal relevan, dihormati dan dipercayai khususnya di rantau ini," katanya.
Bernama yang ditubuhkan pada 1967 sebagai agensi penyebar berita dan maklumat nasional kini berkembang pesat dengan mengendalikan pelbagai perkhidmatan berita termasuk Radio24 dan Bernama TV.
Zulkefli yang menceburi dunia kewartawanan apabila menyertai Bernama pada 17 Sept 1979 selepas tamat pengajian dalam bidang kewartawanan daripada Institut Teknologi Mara (ITM), pernah menjadi Ketua Biro Perak, pewarta luar negara Bernama di Indonesia sebelum dilantik sebagai Pengurus Bernama Wilayah Utara pada 2003.
Pada 1 Feb 2005, beliau dilantik Editor Perkhidmatan Berita Dalam Negeri (PBDN), dan tiga bulan kemudian, iaitu pada 1 Mei 2005 sebagai Editor Tugas-Tugas Khas PBDN dan kemudian pada 1 Jun 2006 sebagai Editor Eksekutif PBDN.
Setahun kemudian pada 1 Jun 2007 dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarang PBDN, dan 15 Mac 2013 dilantik sebagai Ketua Pengarang Bernama.
Pada tahun ini, beliau telah dilantik sebagai pengerusi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia.
Zakaria, bekas setiausaha akhbar kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dari 1998 hingga 2003, menyertai Bernama pada 1 Julai, 1980 selepas tamat pengajian dalam bidang kewartawanan daripada ITM.
Bekas Ketua Biro Bernama di Pulau Pinang dan Sarawak itu telah dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Bernama System and Solutions Advisor Sdn Bhd (BESSAR) pada Januari 2004, dan kemudian sebagai Timbalan Ketua Editor pada 2006.
Zakaria juga pernah dilantik sebagai pewarta luar negara Bernama di Singapura pada 15 Nov 2007, sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi (PBE) pada 2011, dan seterusnya sebagai Timbalan Ketua Pengarang PBDN pada tahun lepas.
Mokhtar, pula merupakan lulusan bidang komunikasi massa daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), ijazah sarjana Undang-Undang Perniagaan juga daripada UKM dan ijazah sarjana muda Jurisprudens daripada Universiti Malaya.
Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Bernama di Sabah dan telah dilantik sebagai Editor Meja Berita 1, PBDN sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Audio Visual Bernama pada tahun lepas.
Mokhtar juga merupakan Presiden Kelab Akhbar Malaysia (NPC) sejak 2007.
Mikhail Raj yang merupakan lulusan UKM dalam bidang komunikasi massa menyertai Bernama pada 1984, dan telah berkhidmat dengan PBE sejak tarikh tersebut.
Beliau dilantik sebagai Editor perkhidmatan itu pada 1999.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment