Tuesday 16 December 2014

Keputusan Mengenai Bernama TV Dalam Masa Terdekat - Ahmad Shabery



Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan memutuskan penyelesaian terbaik bagi stesen berita 24 jam, Bernama TV, dalam masa terdekat selepas mengadakan perbincangan dengan semua pihak terlibat.
Menteri berkenaan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pendekatan baharu termasuk penstrukturan semula antara yang dianggap perlu dilakukan untuk menyelamatkan stesen berita yang dikendalikan syarikat swasta itu.
"... dahulu Astro membeli content (kandungan) (Bernama TV), tetapi Astro sudah tidak membeli content kerana Astro sudah ada (saluran berita) Awaninya dan mempunyai sistem tersendiri.
"Apakah Bernama TV boleh hidup tanpa ada pihak lain membeli contentnya, itu yang kita kena fikirkan," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2015 pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Ahmad Shabery berkata antara perkara yang akan diteliti termasuk penggunaan empat bahasa oleh stesen berita itu.
"Saya kena dengar pandangan profesional dalam soal ini, mana ada negara dalam dunia ini yang mempunyai satu saluran berita yang pelbagai bahasa, sebab saluran berita kena ada kesinambungan.
"Misalnya (berita) gempa bumi, bila berita dalam bahasa Tamil, tak ramai orang akan tunggu, penonton lari (tukar siaran) dan takkan datang balik," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.
"Tak boleh kita nak paksa kalau tidak rela untuk menuju ke arah itu. Tetapi kalau dia (Bernama TV) nak kekal dengan model yang ada sekarang, kalau rugi lagi, tidak ada penonton dan sebagainya, dia kena tanggunglah," katanya.
Permasalahan yang dihadapi Bernama TV menyebabkan stesen berita itu tidak dapat membayar gaji pekerjanya. Kali terakhir kakitangan Bernama TV mendapat gaji ialah pada 20 Okt lepas.
Bernama, sebuah badan berkanun, hanya mempunyai pegangan minoriti 33 peratus dalam Bernama TV dan menanggung gaji pekerja syarikat swasta itu sehinggalah ia tidak mampu lagi melakukannya bulan lepas.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment