Tuesday 16 December 2014

Bersedia hadapi cabaran …


Bernama perlu bersedia menghadapi cabaran-cabaran yang lebih besar pada tahun hadapan berdasarkan senario ekonomi sekarang, kata Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman.
“Harga (pasaran dagangan) minyak mentah kini dalam lingkungan USD 60 setong, sedangkan masa diambil kira dahulu dalam belanjawan negara, ia sekitar USD 100 setong…kalau kejatuhan harga ini berterusan dan mencecah bawah USD 50 setong, ia bukan sahaja boleh memberi kesan  dari segi ekonomi malah politik,” katanya pada majlis kesyukuran meraikan pelantikan Datuk Zulkefli Salleh sebagai Pengurus Besar Bernama di Wisma Bernama petang ini.
Dalam keadaan sedemikian, Bernama harus berhati-hati dari segi pemberitaan   agar tidak terperangkap dalam situasi yang semakin mencabar itu.
Dengan saingan daripada media sosial, Bernama perlu tampil menghasilkan berita-berita berbentuk analitikal, bertanggungjawab dan berautoritatif.
Beliau mencadangkan agar para wartawan kanan dan editor Bernama menghasilkan tulisan analitikal mengenai isu-isu semasa supaya rakyat memahami dengan lebih jelas selain mampu menangani persepsi negatif pelbagai pihak.
“Oleh itu editor diharap dapat mengurangkan penglibatan dalam hal-hal pentadbiran seperti menghadiri pelbagai jenis mesyuarat (luar) agar dapat memberi lebih tumpuan ke atas aspek pemberitaan” katanya.
Datuk Zulkefli, dalam ucapannya, menyatakan kesyukuran atas kenaikan pangkatnya itu sambil menganggapnya sebagai pertambahan tugas dan tanggungjawab.
Beliau terus menyebut mengenai masalah Bernama TV yang memerlukan tindakan agak drastik diambil dalam masa terdekat ini membabitkan staf Bernama TV Synergy.
“Untuk gaji bulan November, kita akan bayar…tetapi untuk bulan Januari 2014 dan seterusnya, kita mesti cari jalan penyelesaian terbaik dan saya harap staf Bernama TV Synergy dapat memahami situasi kita di mana sejak 3 setengah tahun lalu, Bernama telah membiayai operasi dan gaji mereka,” katanya.
Kira-kira 100 petugas Bernama menghadiri majlis yang turut meraikan pelantikan  Ketua Pengarang Datuk Zakaria Wahab, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri, Mokhtar Husin dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Mikhail Raj Abdullah.   
Dalam pada itu, Datuk Zulkifli menghargai jasa wartawan ‘otai’ seperti Musa Scully (Pengarah NAM News Network), S.Sivaselvam dan Ahmat Wahab (Konsultan Editorial) yang terus berkhidmat  dengan Bernama setelah bersara.
“Inilah menunjukkan ada sesuatu yang istimewa dengan Bernama kerana mereka ini bukan tidak laku di tempat lain.
“Banyak tempat lain, mereka yang bersara tak nak pijak lagi tempat itu kerana perkara-perkara yang tidak menyenangkan mereka,” kata Datuk Zul yang meminta warga Bernama berganding tenaga untuk meneruskan obor Bernama.

Oleh Syed Khedher Ismail

No comments:

Post a Comment