Friday 12 December 2014

Kemelut Bernama TV Dikaji, kata Ahmad Shabery



Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang mengkaji permasalahan yang dihadapi oleh stesen berita 24 jam, Bernama TV, hingga tidak dapat membayar gaji pekerjanya.
Menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kajian terperinci bagi menyelesaikan kemelut Bernama TV ataupun mencari keputusan lain perlu dilakukan dengan sebaiknya kerana ia adalah satu entiti perniagaan yang dikendalikan oleh pihak swasta.
"Sudah semestinya saya memahami tentang kesusahan yang dialami pekerja stesen TV berkenaan dan saya mengambil berat akan hal ini.
"Akan tetapi harus difahami bahawa Bernama TV bukanlah suatu stesen TV milik kerajaan tetapi ia milik swasta dan apa pun keputusannya mestilah berdasarkan keputusan perniagaan," katanya selepas merasmikan Majlis Pembahagian Dana Persekolahan Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai di Kemaman.
Ditanya sama ada kementerian itu akan memberikan suntikan kewangan awal kepada pekerja terlibat, Ahmad Shabery berkata pihaknya tetap akan mencari jalan terbaik untuk meringankan beban mereka.
Menurutnya selama ini pun, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) telah banyak memberikan suntikan bagi menanggung operasi dan gaji pekerja Bernama TV.
"Peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk mengendalikan operasi Bernama sebagai agensi berita bagaimanapun sebahagiannya terpaksa diambil bagi menanggung kelemahan syarikat swasta," katanya.
Justeru itu, kata Ahmad Shabery keputusan segera haruslah dibuat bagi menyelesaikan masalah berkenaan kerana soalnya mengapa kerajaan pula yang terpaksa menanggung kelemahan sebuah syarikat swasta yang tidak memenuhi tanggungjawab dalam mengendalikan stesen TV berkenaan.
Bernama mempunyai pegangan minoriti 33 peratus dalam Bernama TV dan membayar gaji pekerja sehinggalah ia tidak mampu lagi melakukannya pada November.
Kali terakhir kakitangan Bernama TV mendapat gaji ialah pada 20 Okt lepas. Ekoran itu, 30 wakil kakitangan stesen TV tersebut dilaporkan membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) pada Rabu lepas.
      -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment