Sunday 7 December 2014

PID cipta rekod...



Oleh: Ridzuan Mohd Ghazali

Julung-julung kali diadakan di negeri Perlis Indera Kayangan, Perlis International Duathlon 2014 (PID) yang dilangsungkan hari ini, berjaya mendapat pengiktirafan The Malaysia Book of Records apabila menjadi sukan duathlon yang pertama merentasi sempadan antara Malaysia dan Thailand.
Sukan duathlon anjuran Opulence Network Sdn Bhd itu melibatkan dua disiplin iaitu larian dan berbasikal. Para peserta dikehendaki menamatkan perlumbaan yang jumlah jaraknya adalah sepanjang 40km.
Acara itu dilancarkan oleh Anggota Exco Belia dan Sukan, Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Perlis Abdul Jamil Saad di kawasan Gua Kelam.
Para peserta memulakan perlumbaan dengan berlari sejauh 6km merentasi Kg. Sayur sebelum kembali semula ke kawasan Gua Kelam untuk mengambil basikal masing-masing.
Kayuhan sejauh 30km itu pula melalui pelbagai lokasi yang sukar seperti Denai Warisan, Gua Kelam sehinggalah merentasi sempadan negara Thai. Kemudian, peserta dikehendaki berlari semula sejauh 4km menuju ke garisan penamat di Gua Kelam.


Laluan Yang Unik
Kemenangan berpihak kepada atlet terbaik duathlon negara iaitu Shahrom Abdullah, 34 tahun, yang berjaya menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 1 jam 47 minit.
Anak kelahiran Kota Baharu, Kelantan itu menyifatkan trek perlumbaan yang disediakan agak unik dan mencabar.
"Semasa laluan berbasikal, kita melalui gua kelam. Laluan dalam gua agak sempit, licin dan gelap. Kita perlu lebih berhati-hati. Lain daripada yang lain daripada sebelum ni. Kita juga terpaksa melalui sempadan dan pekan yang sibuk dengan orang yang membeli-belah," ujarnya kepada wartawan sebaik berjaya menjejakkan kaki di garisan penamat.
Pihak penganjur bertungkus-lumus untuk menyediakan laluan trek yang terbaik agar dapat memberi impak dan kenangan bagi para peserta. Antara yang terlibat dalam usaha ini ialah Encik Ronn Rahmani, Pengarah Teknikal Opulence Network Sdn Bhd.
"Ada dua perkara yang unik. Pertama ialah Gua Kelam. Belum pernah ada lagi aktiviti yang melibatkan gua. Kedua, denai larian iaitu denai warisan. Satu denai yang telah lama ditinggalkan dan tidak digunakan," ulas beliau.

Penyertaan Atlet Luar Negara
Apa yang membanggakan dalam PID ialah walaupun acara ini pertama kali dianjurkan, penyertaan daripada atlet luar negara sangat menggalakkan. Seramai 50 daripada 350 penyertaan merupakan atlet yang datang dari pelbagai negara seperti United Kingdom, Singapura, Venezuela, Thailand, Filipina dan lain-lain. Bagi kategori lelaki antarabangsa berumur 51 tahun dan ke atas, juara disandang oleh Dave Spence dari UK dengan catatan masa 1 jam 57 minit.
Menurut Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man, perkara ini merupakan sesuatu yang positif khususnya bagi negeri Perlis kerana dapat menggalakkan lagi sektor pelancongan.
"Ramai peserta yang menginap di homestay. Ini sudah tentu menyemarakkan lagi industri perlancongan di Perlis terutama kepada pengusaha-pengusaha homestay," ujarnya sewaktu berucap pada Sunset Dinner yang diadakan sehari sebelum PID.
Beliau turut berhasrat untuk menjadikan PID sebagai acara tahunan di negeri itu. Memandangkan acara ini pertama kali dianjurkan, tentu ada ruang-ruang yang boleh diperbaiki terutamanya di sudut promosi dan penajaan agar dapat menawarkan hadiah-hadiah yang lebih menarik di masa akan datang.

No comments:

Post a Comment