Monday 15 December 2014

Penulis khusus untuk mantapkan Jabatan Pengarang...


Penulis-penulis khusus bagi pelbagai bidang akan diperkenalkan dalam usaha transformasi Jabatan Pengarang untuk menghasilkan berita-berita yang lebih menarik.
Keperluan ini wajar agar berita-berita Bernama mendapat tempat untuk digunakan dengan lebih meluas oleh para pelanggan.
Penulisan khusus ini turut meliputi penjenamaan semula Meja Jenayah dengan mengambilkira perkembangan dan pembaharuan agensi-agensi keselamatan dalam negeri.
Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab membayangkan langkah itu pada  Mesyuarat Penyalarasan Mingguan Bernama pagi ini, yang pertama kali dipengerusikannya dalam jawatan baharunya itu, sejak diumumkan Selasa lepas.
Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Antarabangsa Encik Ahmad Zukiman Zain serta Encik Mokhtar Hussain dan Encik Mikhail Raj Abdullah, yang masing-masing turut diumumkan sebagai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita  Ekonomi hadir pada mesyuarat itu.
Datuk Zakaria berkata antara bidang yang akan mempunyai penulis khusus termasuk kesihatan, perundangan, kebudayaan, teknologi maklumat dan kesenian.
Beliau juga berhasrat membentuk pasukan diplomatik daripada kalangan petugas baru untuk mendedahkan mereka kepada acara berbentuk antarabangsa seperti persidangan dan lawatan pemimpin asing.
Selasa lepas, Jabatan Sumber Manusia dan Pentadbiran memaklumkan mengenai pelantikan Ketua Pengarang Datuk Zulkefli Salleh sebagai Pengurus Besar manakala tempatnya diambilalih oleh Datuk Zakaria serta pelantikan Encik Mokhtar dan Encik Mikhail berkuatkuasa pada hari berkenaan.

No comments:

Post a Comment