Thursday 11 December 2014

Nasir raih anugerah Akrab Proaktif...



Editor Meja Tugasan Khas dan Rencana Bernama, Mohd Nasir Yusoff meraih anugerah Akrab Proaktif bagi kategori individu. pada majlis Pentauliahan Rakan Pemimbing Perkhidmatan Awam (Akrab) di Pulau Pinang hari ini.
Beliau bersyukur kerana sumbangannya menjadi rakan pemimbing di Bernama diiktiraf di samping peranan beliau yang aktif mempromosi kerjasama antara Malaysia dan Indonesia menerusi penulisan.
"Ini antara dua faktor pemilihan saya sebagai penerima anugerah ini dan kejayaan ini paling bermakna sejak saya menyertai Akrab lima tahun lepas," katanya yang telah berkhidmat selama 31 tahun dengan Bernama.
Kementerian Komunikasi dan Multimedia memenangi anugerah Akrab Dinamik bagi kategori organisasi, buat kali kedua berturut-turut, pada majlis yang diadakan dwitahunan itu.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, yang menyampaikan anugerah, menggesa penjawat awam bersikap dinamik dan mengamalkan konsep bekerja dengan memfokuskan kepada masyarakat bagi memenuhi jangkaan rakyat yang sentiasa berubah mengikut peredaran masa.
Beliau berkata mereka harus mempunyai keupayaan bekerja merentasi sempadan tugas di samping sentiasa berusaha mencari ruang memperbaiki dan menambah baik sistem sedia ada.
Pada majlis kali ke-10 itu, sebanyak 1,186 anggota Akrab daripada pelbagai jabatan dan agensi seluruh negara menerima sijil tauliah, yang diharap dapat membantu meningkatkan potensi sumber manusia di tempat kerja masing-masing.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment