Tuesday 4 November 2014

Wartawan Bernama Disamun Depan Rumah ...


Seorang wartawan Bernama disamun dua lelaki bersenjatakan parang di hadapan rumahnya di Subang Jaya.
Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam tadi, Azzah Mohamad , 28, yang bertugas di Meja Antarabangsa, berkata beliau baru pulang dari tempat kerja dan meletakkan kereta Proton Inspiranya di tepi jalan di hadapan rumahnya di Jalan USJ 3/3M, Subang Jaya.
Sebaik keluar daripada kereta dan ingin mengambil beg melalui pintu sebelah kiri, beliau didatangi seorang lelaki memakai topi keledar dari arah belakang yang mengacukan parang ke mukanya.
"Lelaki itu berulang kali meminta saya menyerahkan telefon bimbit saya dan beg tangan, dan setelah menyerahkan telefon dan beg itu, dia minta pula kunci kereta, tetapi saya enggan menyerahkannya.
"Saya bernasib baik kerana ketika itu sebuah kereta jenis Proton Wira yang dinaiki sepasang suami isteri berhenti kerana terlihat kejadian, menyebabkan lelaki itu melarikan diri bersama seorang lelaki yang sedang menunggu dengan motosikal di tepi jalan," katanya kepada Bernama.
Sebelum melarikan diri, lelaki itu sempat membaling sebuah beg galas mengandungi sejenis topi, yang dipercayai sebagai taktik agar suspek tidak dikejar.
"Pasangan suami isteri yang berhenti itu menenangkan saya dan menghantar saya masuk ke rumah," katanya.
Beg tangannya mengandungi dompet berisi wang tunai RM410, kad pengenalan, lesen memandu, perakam suara, kad pekerja dan pas media.
Beliau berkata semasa kejadian, hanya adik perempuannya yang berumur 27 tahun berada di dalam rumah.
Azzah membuat laporan di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya.
"Saya bersyukur kerana tidak cedera dan mereka tidak dapat melarikan kereta, saya masih trauma dengan kejadian ini," katanya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli, ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian itu yang disiasat di bawah kes samun berkumpulan menggunakan senjata.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment