Sunday 16 November 2014

"Malu nak bertanya"...



Kebanyakan wartawan muda “malu hendak bertanya” wartawan kanan mengenai selok-belok kerja sedangkan ia menjadi perkara asas bagi mereka, kata Presiden National Union of Journalists Malaysia (NUJ) Chin Sung Chew.
“Satu sebab saya rasa.. para wartawan ini semua graduate dan berpelajaran tinggi,kita dulu hanya lepasan sekolah menangah, sekarang mereka rasa dah banyak belajar dari universiti,” katanya dalam program “Bersama Wartawan” Bernama Radio24 pagi ini.
Kerja di lapangan sangat berlainan daripada apa yang dipelajari di universiti, kata Chin, 43, wartawan kanan Sin Chew Daily.
Beliau membuat pengamatan itu apabila mengimbau pengalamannya selama 23 tahun dalam bidang kewartawanan dan ditanya mengenai liputan yang paling berharga.
Walaupun sukar untuk mengingati segala tugasan, Chin tidak boleh melupakan tragedi Highland Towers kerana ketika itu beliau bertugas dengan meja jenayah dan menjadi antara wartawan akhbar Cina yang pertama sampai di tempat kejadian.
“Masa itu saya muda lagi dan semangat lebih kuat…kita berklumba-lumba nak pergi ke tempat kejadian, saya berada di Hospital Kuala Lumpur apabila terima panggilan dari pejabat menyuruh saya pergi.
“Masa sampai, saya kagum melihat bangunan yang begitu besar boleh rebah,” katanya.
Dalam membuat liputan sesuatu tragedi, beliau berkata seseorang wartawan hendaklah sentiasa berwaspada dan peka kepada perasaan keluarga sebab mereka masih dalam suasana sedih.
“Tapi sebagai wartawan kita tak boleh walk away kalau orang menangis, sebab kita perlu menjalankan tugas,
“Ini terpulang kepada pengalaman, kalau wartawan yang berpengalaman, dia mesti tahu bagaimana nak dapat berita, mungkin tidak ambil gambar dari dekat,” katanya yang memulakan kerjaya dengan China Press pada tahun 1991  sebelum menyertai Sin Chew Daily dua tahun kemudian..
Beliau menasihati mereka yang berminat menjadi wartawan supaya mempunyai semangat yang tinggi dan bukan bersikap “menyertai media cetak untuk tengok dan suka-suka dan melompat keluar selepas dua, tiga tahun.”
“Kalau nak jadi wartawan, banyak perkara yang perlu dipelajari” kata Chin, yang masih merasai teruja apabila dapat menghantar berita kepada orang ramai.
Ketika ditanya mengenai penglibatannya dalam kesatuan, beliau berkata satu daripada sebabnya “agak sedih” kerana bukan semua orang mahu memikul tanggungjawab itu.
“Semasa saya libatkan diri dulu, saya sendiri tak jelas tapi saya seorang yang sentiasa ingin belajar dan satu sebab ialah saya mesti tegakkan keadilan terutama bagi wartawan,
“Saya fikir ada ruang yang boleh ditingkatkan dan sebagai union, kita adalah satu pihak yang boleh mengadakan rundingan dengan syarikat,” kata Chin, yang menjadi Presiden NUJ sejak 2011.
Menurutnya, aktiviti kesatuan adalah luas dan bukan setakat memperjuangkan faedah dan hak-hak untuk ahli.
Sebagai contoh NUJ telah menerbitkan buku panduan keselamatan wartawan bagi membantu ahli menghadapi cabaran serta menjalankan tugas dalam perlbagai situasi seperti gempa bumi dan kawasan bergolak.
Chin berkata satu ‘misi’nya sebagai Presiden NUJ ialah mengembangkan saiz keanggotaannya yang kini berjumlah 1,400 ahli.
“…tetapi ini menjadi masalah yang mencabar sebab media cetak sekarang ini  mungkin menurun sebab ada media online,” katanya.
Chin berkata walaupun transformasi dari media cetak kepada media online sudah mula kelihatan, namun keanggotaan NUJ tidak boleh diperluaskan kepada media online kerana tidak dibenarkan oleh perlembagaannya.
Katanya, exco NUJ yang bermesyuarat minggu lepas telah membincangkan  resolusi yang diluluskan oleh persidangan perwakilan bulan lepas agar keanggotaan dibuka kepada wartawan media online.
Keputusan itu akan dihantar kepada Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja untuk mendapat kelulusan, kata Chin.

No comments:

Post a Comment