Thursday 27 November 2014

Bacalah …




Membaca adalah perintah pertama yang diturunkan melalui wahyu yang disampaikan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad SAW. Bacalah!
Kini, semakin banyak buku yang dihasilkan oleh pelbagai syarikat penerbit buku. Bermacam genre dapat dilihat menghiasi rak di toko-toko buku seperti novel, motivasi, agama, bibliografi tokoh terkenal dan lain-lain.
Sekiranya ada pembaca yang mahu membaca buku yang lebih moden, pihak penerbit juga ada menghasilkan buku dalam versi digital yang lebih dikenali sebagai e-book.
Dengan teknologi yang semakin canggih, semua orang boleh membaca di mana-mana sahaja tanpa perlu membawa banyak buku yang berat dan membebankan.
Namun, amalan membaca itu masih belum dihayati sepenuhnya oleh kebanyakan masyarakat masa kini, terutamanya generasi muda yang lebih gemar memilih alternatif lain bagi mengisi masa lapang seperti menonton filem, melayari laman sosial dan bermain konsol video.
Justeru, InfolibNews dengan kerjasama Pusat Kecemerlangan Bernama berganding tenaga   mengadakan program yang dinamakan Hari Membaca & Clientele Café. Bertempat di Pusat Maklumat dan Perpustakaan (INFOLIB) hari ini, program yang pertama kali diadakan itu, bertujuan untuk memupuk minat membaca di kalangan petugas
Pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti pertandingan membaca berita, demo masakan sihat, cabutan peminjam buku bertuah dan persembahan ulasan buku.
Dalam pertandingan membaca berita, para peserta berpeluang merasai pengalaman beraksi di hadapan kamera yang lengkap dengan penataan cahaya.
Dalam pertandingan ulasan buku pula, setiap peserta dikehendaki meminjam sebuah buku dan memahami isi kandungannya. Selepas itu, peserta dikehendaki berkongsi kisah atau maklumat yang diperolehinya kepada para peserta lain di hadapan juri.
“Membaca bukan hanya membaca buku, tetapi juga penting untuk membaca surat khabar dan maklumat positif yang boleh didapati di internet,” ujar Pengurus Kanan Latihan Encik Syed Khedher Ismail semasa acara penyampaian hadiah yang berlangsung sekitar jam 4 petang.
“Apa yang lebih penting, program seperti ini mampu meningkatkan kemahiran dan keyakinan berkomunikasi di khayalak ramai,” katanya.
Tuah berpihak kepada Izzul Zunnurain dari Jabatan Pangkalan Data dan Maklumat Korporat yang berjaya menjadi johan bagi pertandingan membaca berita.  Mohamad Hafizh dan Fatin Farhana pula masing-masing merangkul tempat naib johan dan ketiga.
Bagi pertandingan ulasan buku pula, tempat pertama disandang oleh Che Halit Morat dari Jabatan Pengarang. Kisah Kapal Van Der Wijck yang disampaikannya begitu memukau para juri dan peserta yang lain. Tempat kedua dan ketiga pula dimenangi oleh Azlinda Abdullah dan Mohd Awal Ibrahim.
Program seperti ini perlu diadakan lagi di masa hadapan kerana banyak manfaat yang boleh diperolehi.
Pengurus INFOLIB, Puan Hasnita Ibrahim berkata program ini sesuai untuk diadakan pada bulan kemerdekaan yang akan datang.
“Saya rasa seronok sangat sehingga mencetuskan idea, kita akan adakan sempena bulan kemerdekaan. Kita akan baca buku mengenai semua tentang kemerdekaan negara kita dan  berkongsi dengan rakan-rakan di Bernama,” katanya.

Oleh RIDZUAN MOHD GHAZALI

No comments:

Post a Comment