Friday 21 November 2014

Dare to Dream ...



Apakah yang anda impikan? Sebuah rumah banglo? Atau kereta Mercedes? Atau mempunyai wang yang banyak?
Semuanya boleh tercapai jika anda sentiasa bayangkan (visualize) impian anda, menurut Pengasas dan Pangarah Eksekutif Tha Malaysia Book Of Records Tan Sri Danny Ooi .
“Tengok Perdana Menteri (Datuk Seri Najib), masa dia mula jadi PM, sudah ada impian - 1 Malaysia. So, kalau dia ada ‘dream’, you pun sama boleh, ada ‘dream’ katanya dalam ceramah sejam bertajuk ‘Dare to Dream’ di Wisma Bernama hari ini.
”Kalau mahu dapat apa yang diimpikan itu, mesti ada (6 D’s) -- Discipline (Disiplin), Dedication (Dedikasi), Diligence (Kegigihan), Dare (Keberanian),  Drive (Kesungguhan) dan Desire (Keinginan) “.
“Saya dulu orang susah, dulu tinggal Sentul, emak orang Penang, bapa dari China, wang pun tak cukup mau pergi sekolah..itu sebab saya ‘became good runner; ran away from school”.
Sebaik tamat tingkatan lima, pada awal tahun 1970-an, Ooi terpaksa mencari pekerjaan untuk menyara keluarganya dan diterima sebagai pelukis pelan di Ong & Chew, sebuah syarikat binaan.
“Masa itu gaji saya,  RM 60 satu bulan” katanya.
Tempoh pekerjaannya di syarikat itu, bagaimanapun hanya enam bulan memandangkan majikannya berpendapat tulisannya yang ‘buruk’ dianggap menjejaskan kualiti kerja.
Sebagai seorang yang sejak kecil lagi sudah terbiasa mengguna tangan kiri, Ooi sukar melukis pelan dengan mengguna tangan kanan.
“Bagi masyarakat Cina, tangan kidal (adalah) satu ‘taboo’ ” katanya. 
Menurut Ooi, tempoh antara 1977 sehingga 1998 adalah paling sukar dalam hidupnya kerana  terpaksa melalui pelbagai pekerjaan dan sering gagal.
Pernah satu ketika, pada tahun 1987, beliau menjual alat urut kaki (foot massager) di Plaza Yow Chuan. Apabila datang seorang pelanggan ingin mencuba peralatannya, Ooi akan memutarkan kepada kelajuan yang lebih tinggi supaya ia dapat memberi keselesaan maksima kepada pembeli itu.
“Saya tarok speed 3, kasi itu mesin (reflexologi) laju sikit..itu dan orang pun cakap, okay, bagus, bagus..dia pun beli,”  katanya.
Dengan kos peralatan yang agak tinggi beserta harga jualan alat tersebut sebanyak RM1,300, perniagaannya, bagaimanapun, hanya dapat bertahan selama 6 bulan.
Awal tahun 1989, Ooi cuba mengubah nasibnya sebagai pengendali karaoke bergerak.
“Tapi masa itu pakai tape VHS, satu lagu satu tape.., so, kalau 20 lagu, 20 tape mau angkat…pendapatan juga tidak seberapa, simpanan dalam bank saya kosong,”. katanya.   
Tetapi Ooi mempunyai satu impian -- menyediakan buku tentang pencapaian unik rakyat Malaysia. The Malaysia Book Of Records.
Edisi pertama hanya mula dicetak pada tahun 1995 setelah memendamkan impian selama enam tahun.
Ide itu tercetus Mei 1989 sewaktu beliau dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Semua House.
“Saya berfikir, kalau seorang warga India boleh berkayuh basikal tanpa henti dan rekod ini dicatatkan dalam Guiness Book Of Records, kenapa tidak boleh boleh diwujudkan satu lagi buku yang memaparkan rekod-rekod yang dicapai di Malaysia,” katanya.
Malaysia Book Of Records kini dicetak edisi kesembilan dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris.
Antara pencapaian terkandung dalam buku berkenaan ialah bilangan ‘tweets’ terbanyak dalam masa satu jam di mana 3, 611, 323 jumlah tweet direkodkan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berkongsi perasaan patriotik mereka di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur sempena hari Merdeka tahun 2012.  
Bagaimanapun, untuk merealisasikan buku tersebut juga merupakan satu cabaran baginya.
“Saya nyaris bankrap selepas pelancaran buku itu, (sehinggakan) anak (Tan Sri) Vincent Tan yang merupakan rakan kongsi saya menganggap penglibatan dalam bisnes buku tersebut seolah-olah satu ‘nightmare’ (mimpi yang ngeri) baginya,“ kata Ooi.
Tiga tahun pertama dalam bidang ini merupakan saat paling getir.  Beliau rugi    RM800,000 dan dua rakan kongsinya keluar daripada perniagaan tersebut dan meninggalkannya keseorangan.
“Saya tetap teruskan usaha ini untuk 10 tahun berikutnya,” kata Ooi.
Beliau berkata tanpa iltizam dan inspirasi yang tinggi, tidak mungkin sesuatu perniaagaan mampu bertahan.
Buku itu mencatatkan kejayaan berterusan dengan penampilan 250 episod siri di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) selain terlaksana empat acara MBR ‘Night of Achievers’ menjelang tahun 2013.
Impian beliau seterusnya ialah untuk mewujudkan ‘Museum of Achievers’ yang boleh menempatkan hasil kajian,  replika dan pelbagai rekod pencapaian dalam bentuk multimedia secara interaktif untuk kegunaan ramai. 
“Kalau you mau berjaya, mesti ada semangat, mesti ada ‘dream’, berusaha ke arah itu.I’m not from ‘rags to riches’, but from ‘nobody to somebody”. kata Ooi.

Laporan dan foto oleh Syed Khedher Ismail

No comments:

Post a Comment