Friday 7 November 2014

Rumah Jurufoto Bernama Terengganu Dimasuki Pencuri


Jurufoto BERNAMA Arjasneh Ahmad kerugian kira-kira RM30,000 setelah rumahya di Taman Ibai Permai di Kuala Terengganu dipecah masuk beberapa hari lalu.
Beliau mendapati rumahnya berselerak kira-kira pukul 4 petang Khamis.
Arjasneh sebelum itu mengikuti kursus di Melaka manakala anggota keluarganya bercuti di Johor.
"Pada hari Selasa, kawan saya ada memaklumkan dia melihat lampu rumah saya terbuka. Namun saya tidak mengesyaki apa-apa, mungkin saya terlupa menutup lampu.
"Bagaimanapun esoknya sekali lagi saya dimaklumkan lampu di bahagian ruang makan pula yang menyala, lalu saya syak sesuatu berlaku.
"Saya pun bergegas pulang dari Melaka dan kemudian mendapati rumah saya berselerak, lalu saya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu petang semalam," katanya.
Arjasneh berkata beberapa barangan berharga seperti kamera, komputer riba, televisyen, barangan kemas serta wang didapati hilang.
Penjenayah disyaki masuk menerusi tingkap kerana terdapat kesan umpil serta jeriji yang dipotong.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment