Tuesday 11 November 2014

Sakini menang hadiah media Kementerian Kesihatan...

FotoBERNAMA
Wartawan meja rencana Bernama, Sakini Mohd Said menerima hadiah saguhati bagi kategori kewartawanan akhbar Bahasa Melayu Anugerah Media Kementerian Kesihatan 2014. 
Sakini, 31, yang berasal dari Pulau Pinang membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta sijil penghargaan hasil rencananya bertajuk 'Masalah Tidur, Berisiko Terlibat Kemalangan' yang ditulis pada tahun lepas.
Hadiah disampaikan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam.
Antara kategori yang dipertandingkan kewartawanan televisyen yang dimenangi Abdul Halim Ab Rahman dan Khairunissa Kasnoon dari Astro Awani menerusi program berjodol 'E-Rokok: Impak kepada Pengguna'.
Anugerah kewartawanan majalah Bahasa Melayu pula dimenangi Nor Hidayah Shafiee dari majalah iSihat dengan artikel bertajuk ‘Tutup Lampu Jika Ingin Hidup Lama’.
Anugerah Media Kementerian Kesihatan 2014 bagi edisi kelapan itu menerima sebanyak 224 penyertaan daripada semua media iaitu televisyen, radio, akhbar dan majalah daripada pelbagai bahasa bagi kesemua 13 kategori yang dipertandingkan.
Dalam ucapannya, Subramaniam berkata pengguna media sosial perlu lebih peka terhadap kesahihan sesuatu maklumat terutama yang berkaitan dengan kesihatan sebelum disebarkan. Katanya, media sosial penting dalam konteks penyebaran maklumat secara pantas tetapi boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat jika disalahguna.
"Terdapat mesej-mesej salah dan palsu, umpamanya (berita) penyakit Ebola yang dikesan di negara ini beberapa bulan yang lepas, yang mana ia hanya mewujudkan suasana panik dalam kalangan rakyat," katanya.
Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Farida Mohd Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penjurian Anugerah Media Kesihatan, Datuk Chamil Wariya.
Dalam pada itu, Dr Subramaniam memuji peranan media dalam menyampaikan maklumat yang berjaya mempengaruhi minda rakyat bagi mengamalkan gaya hidup sihat.
Katanya pihak media merupakan rakan setia Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha menggembleng tenaga ke arah mencapai tahap kesihatan yang lebih baik bagi rakyat.
Mengambil contoh isu demam denggi, Subramaniam berkata KKM sentiasa mengemas kini maklumat mengenainya bagi membolehkan pihak media melaporkan situasi terkini, semasa dan harian.
 -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment