Sunday 2 November 2014

Shabery dan isteri hadiri majlis perkahwinan Yasmin


Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Chik dan isteri Datin Seri Che Sharipah Ismail malam ini menghadiri majlis perkahwinan wartawan Bernama Yasmin Ahmad Zukiman dan pasangannya Ahmad Syahir Izani Tajodin di Dewan Merak Kayangan, Balai Felda di Kuala Lumpur.
Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman dan isteri Datin Maznah Adam serta  Ketua Pengarang Datuk Zulkefli Salleh, yang kini menjalankan tugas sebagai Pengurus Besar dan isteri Datin Ruhiza Hashim turut hadir.
Datuk Yong Soo Heong, yang baharu bersara sebagai Pengurus Besar, para pegawai kanan Bernama serta tiga bekas Pengurus Besar – Datuk Hasnul Hassan, Datuk Seri Azman Ujang dan Datuk Syed Jamil Jaafar, yang kini penasihat Bernama Radio24, turut hadir.
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Dr Rothiah Omar,  bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimudin Mohd Dom dan Presiden Majlis AIDS Malaysia Tan Sri Zaman Khan dan isteri Puan Seri Rosnah Ahmad turut memenuhi undangan bapa pengantin perempuan Ahmad Zukiman Zain, yang juga Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Antarabangsa.
Dalam ucapannya selaku ‘tuan rumah’,  Ahmad Zukiman berkata dalam kegembiraan meraikan pasangan pengantin, majlis itu bertujuan menunaikan hajat insan yang beliau dan anak-anak amat sayangi.
“Biarpun Allahyarham isteri saya  Hajah Mariam Abdullah tidak sempat bersama kita menyaksikan detik bermakna ini, namun semangat dan kasih sayangnya dapat saya rasai di segenap ruang dewan ini," katanya.
Beliau lalu mengajak hadirin menghadiahkan al-Fatihah kepada Hajah Mariam, yang kembali ke Rahmatullah pada 1 September lepas.
“Hasratnya untuk menyatukan Yasmin dan Shah termakbul apabila majlis akad nikah dilaksanakan pada 4 Oktober lalu.
“Kami mendoakan agar kasih sayang dan kebahagiaan yang kami kecapi akan diwarisi pula oleh anak dan menantu kami dalam mereka melangkah membina keluarga.
“Memanglah adat orang bersuami isteri banyak asam garamnya, pahit manis seharusnya sama dirasa, namun pengalaman inilah yang menjadikan kita lebih tabah serta saling menghargai dan memerlukan,” kata Ahmad Zukiman.

No comments:

Post a Comment