Sunday, 7 May 2017

PM ucap tahniah kepada Bernama sambut Jubli Emas 50 tahun...

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada Bernama atas sambutan Jubli Emas 50 Tahun penubuhannya.
Beliau menyatakan demikian ketika mengunjungi ruang pameran Bernama selepas melancarkan program 'Ekspresi Negaraku' di Padang Perbandaran Sandakan hari ini.
Turut mengiringi beliau ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.
Pengurus Unit Pemasaran Foto Bernama, Mohd Farhan Mustafa berkata beliau turut mempelawa Datuk Seri Najib untuk menyelesaikan 'jigsaw puzzle' logo Jubli Emas 50 Tahun Bernama.
"Saya minta kebenaran GM dan KP untuk bawa logo sambutan 50 tahun ke semua lokasi..biar seluruh negara merasakan suasana sambutan ulangtahun ke-50 ini," kata Farhan.
Sebelum ini logo Bernama digunakan untuk 'jigsaw puzzle' bagi diselesaikan oleh para pengunjung ke ruang pameran Bernama pada program yang telah diadakan di Putrajaya dan Kuala Kangsar.
Sebagai tanda penghargaan Bernama, Farhan juga menyerahkan foto kepada Perdana Menteri yang dirakamkan semasa beliau melancarkan program Ekspresi Negaraku di Putrajaya pada Mac lepas. 
"Dia teruja dengan foto tersebut...dia kata nice photo dan cakap terima kasih," kata Farhan.
"Foto tersebut saya pilih atas dasar PM kita seorang yang sangat patriotik dan beliau sentiasa berusaha tanpa penat untuk memajukan negara.
"Foto tersebut berlatarkan bendera negara kita dan bagi saya itu sangat memberi makna kecintaan beliau kepada negara," katanya yang berasa bangga dengan kunjungan Datuk Seri Najib ke ruang pameran Bernama.
Menurutnya, penyertaan Bernama dalam program itu dapat meningkatkan penjenamaan Bernama di samping membolehkan masyarakat mengetahui perkhidmatan yang disediakan oleh agensi berita ini. 
Dalam ucapan pada majlis itu, Datuk Seri Najib berkata semangat patriotik atau cinta kepada negara serta sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankan kedaulatan negara ini mesti ada dalam sanubari setiap rakyat Malaysia.
"Kita tahu bahawa kalau kita ada semangat mempertahankan negara kita maka negara kita akan terus maju ke hadapan kerana tidak ada mana-mana musuh negara sama ada dari luar atau dari dalam yang berani membuat angkara untuk merosakkan negara ini atau menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat Malaysia," katanya.

No comments:

Post a Comment