Saturday, 6 May 2017

Peserta Ekspedisi Kayuhan Annapurna tiba di Nepal...

Sepuluh peserta Ekspedisi Kayuhan Altitud Tinggi Annapurna Circuit 2017 semakin bersemangat dengan memulakan sesi latihan kayuhan pemanasan badan setelah tiba di Nepal.
Ekspedisi yang turut disertai wartawan Bernama News Channel (BNC), Nazahiyah Mohd Hadzir berkayuh sejauh 30 kilometer sekitar Kathmandu.
Mereka tiba di Kathmandu, dua hari lepas untuk memulakan ekspedisi penuh cabaran itu yang dijadualkan berakhir 22 Mei ini.
Nazahiyah menyifatkan penyertaannya itu sebagai peluang untuk sekali lagi menguji tahap kemampuan dirinya.
"Saya tersenarai antara 10 peserta kayuhan itu terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita. Pelbagai sesi ujian kecergasan perlu dilalui seperti peserta lain dan saya dipilih bukan atas tiket sebagai wartawan," katanya kepada Bernama.
Pada 2015, beliau menyertai ekspedisi berbasikal bersama Kelab Eksplorasi Tujuh Benua 
(KE7B), namun  terpaksa dibatalkan atas faktor keselamatan susulan kejadian gempa bumi.
Nama 10 peserta Kayuhan Altitud Tinggi Annapurna Circuit 2017 itu  bakal terpahat dalam Malaysia Book Of Records sebagai ''First Group to Cycle to High Altitude Track'' di Banjaran Himalaya.
Berkongsi pengalaman mula berjinak dalam aktiviti berbasikal sejak 2010, Nazahiyah 
berkata beliau mahu mencipta nama dengan mengharumkan nama Malaysia menerusi arena sukan rekreasi kegemarannya itu.
"Saya tidak setanding atlet negara lain, tapi nak capai satu impian sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup dapat pencapaian terbaik dalam sukan rekreasi. Alhamdullilah diberi peluang untuk sertai ekspedisi ini," katanya.
Berkhidmat di BNC sejak 2012, Nazahiyah bersyukur kerana diberi pelepasan oleh pihak 
pengurusan pada hujung minggu bagi menjalani sesi latihan mental dan fizikal dalam 
mempersiapkan diri untuk mengejar cita-citanya itu.
Anak kelahiran Kulim, Kedah berusia 32 tahun itu baru-baru ini, menjalani sesi latihan kayuhan dari Klang-Lumut-Klang sejauh 400 kilometer yang mengambil masa dua hari.
"Dua kali basikal saya mengalami kerosakan di Sungai Besar dan Hutan Melintang. Saya 
gigih baiki sendiri. Alhamdulillah kami melepasi sesi ujian itu dengan jayanya," kata beliau. 
Cabaran misi berkenaan termasuk mendaki sehingga ketinggian puncak  5,416 meter iaitu di Thorong La Pass. 
Kayuhan sejauh 260km itu bermula dari Besisahar dan berakhir di Pokhara.
Misi diketuai Shamsudin Ismail itu dianjurkan Majlis Rekreasi Malaysia.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment