Monday, 22 May 2017

Jubli Emas: Lima Bekas Wartawan Bernama Terima Anugerah Khas...


Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) memberi penghargaan kepada lima bekas wartawannya dengan Anugerah Khas bersempena sambutan Jubli Emas Bernama atas kejayaan dalam peningkatan kerjaya mereka sehingga menyandang jawatan penting di dalam dan luar negara.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyampaikan anugerah itu kepada Datuk Seri G.Palanivel, Tan Sri Ismail Adam, Prof Datuk Syed Arabi Syed Abdullah Idid, Datuk Abdul Jalil Hamid dan Mervin Nambiar, pada majlis gilang-gemilang Jamuan Malam Jubli Emas Bernama di ibu negara malam ini.

Palanivel, 68, yang memulakan kerjaya sebagai wartawan kanan di Bernama pada April 1977, telah mendaki tangga ke puncak kejayaan sehingga menyandang jawatan sebagai menteri kabinet ketika beliau menjadi Presiden parti MIC.
Semasa di Bernama, beliau menyandang jawatan Editor Berita Dalam Negeri dan Berita Ekonomi mulai 1984 hingga 1987 sebelum dipinjamkan sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kerja Raya ketika itu, Datuk Seri S. Samy Vellu dari 1987 hingga 1990.
Di peringkat kerajaan persekutuan, Palanivel pernah menyandang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar selain menjadi Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Masyarakat; dan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Ismail pula meniti ke puncak kerjayanya sehingga menjawat jawatan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), iaitu jawatan nombor dua tertinggi dalam sektor awam, sehingga persaraannya daripada perkhidmatan pada 2010.
Pernah menjadi Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan dan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Negara, beliau menyertai Bernama pada 1968 sebagai antara wartawan kadet perintis.
Ketika itu, Bernama beroperasi di sebuah rumah banglo sewaan di Jalan Pekeliling (kini Jalan Tun Razak). Beliau meninggalkan Bernama kemudiannya untuk menyertai bidang lain sektor awam pada 1972.
Prof Syed Arabi, juga yang merupakan antara wartawan perintis Bernama dan menyertai agensi berita itu pada tahun 1968, adalah bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan masih berkhidmat sebagai Profesor Jabatan Komunikasi Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan di UIAM.
Berusia 73 tahun, Prof Syed Arabi pernah berkhidmat selama tiga tahun di Bernama bermula sebagai wartawan sebelum dilantik Ketua Biro Sabah selama dua tahun.
Dalam sektor pendidikan beliau pernah juga memegang beberapa jawatan penting di universiti antaranya pensyarah kanan, Timbalan Dekan di Fakulti Sains Sosial, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selain menjadi Ketua Jabatan Komunikasi UKM.
Abdul Jalil, 57, yang kini menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP)  dan berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kewartawanan dan komunikasi, memulakan kerjaya kewartawanannya di Bernama pada 1982 sebagai pegawai berita.
Selama tujuh tahun di Bernama, Abdul Jalil pernah menjadi Ketua Biro Bernama Johor dan pemangku pengarang berita ekonomi.
Beliau kemudian berkhidmat dengan Reuters selama 18 tahun, dengan menjawat beberapa jawatan seperti ketua koresponden politik dan Timbalan Ketua Biro Reuters di Malaysia dan Brunei dari 1998 hingga 2008 selain pernah ditugaskan di pejabat-pejabat Reuters di London, Singapura dan Jakarta.
Abdul Jalil ,yang masih menjadi Ahli Tetap Mewakili Akhbar dalam Lembaga Pengelola Bernama, dilantik CEO NSTP pada 1 Mac 2017 selepas memegang jawatan Pengarang Urusan Kumpulan pada 15 Okt  2011.
Nambiar, 69, pula mula menceburi dunia media di Bernama sebagai wartawan kadet pada 1969 dan berkhidmat di agensi berita itu sehingga menyandang jawatan Timbalan Editor Berita di Meja Berita Ekonomi.
Pada tahun 1975, Nambiar menjadi wartawan Bernama pertama yang mengikuti latihan kewartawanan di AFP, Paris dan seterusnya ditempatkan di pejabat AFP di London, sebelum dihantar bertugas sebagai koresponden Bernama di Bangkok.
Pada 1984, Nambiar meninggalkan Bernama dan menyertai AFP di Kuala Lumpur sebelum bertugas sebagai Ketua Biro AFP di Singapura. Jawatan terakhir beliau sebelum bersara pada Disember tahun lalu ialah Pengarah Jualan dan Pemasaran AFP bagi Asia-Pasifik, yang berpangkalan di Hong Kong.
Bernama turut menghargai tiga bekas pegawai kanan agensi berita itu dengan Anugerah Khas kategori Sumbangan Khusus kepada dua bekas Pengurus Besar iaitu Datuk Yong Soo Heong dan Datuk Hasnul Hassan serta bekas Editor Eksekutif Zainoor Sulaiman.
Yong, 62, yang memulakan kerjaya sebagai wartawan kadet pada 1974, banyak berjasa mengetengahkan Bernama sebagai hos CAPAM iaitu persidangan dwi-tahunan Pertubuhan Komanwel Bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan serta perbincangan meja bulat mengenai bajet nasional.
Di Bernama, Yong maju dalam kerjaya kewartawanan dengan menyandang beberapa jawatan kanan seperti penolong editor, editor dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Ekonomi mulai 1993 hingga 2004,
Dari 2007 hingga 2013, beliau merupakan Ketua Pengarang Bernama sebelum menjadi Pengurus Besar agensi berita itu pada 1 Jan 2013, wartawan Bernama ketiga yang dilantik sebagai Pengurus Besar selepas meniti kerjaya dari peringkat bawah.
Yong bersara wajib pada 28 Okt 2014 selepas 40 tahun berkhidmat dengan Bernama dan kini merupakan Pengerusi Malaysia Global Business Forum (MGBF).
Hasnul, 55, yang menyertai Bernama pada 2 Jan 2009 hingga 31 Dis 2012, berjasa dalam pengurusan Bernama, terutamanya penstrukturan Bernama yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam serta memantapkan bahagian pemasaran Bernama.
Zainoor, 70, yang berkhidmat di Bernama selama 25 tahun, termasuk sebagai koresponden Bernama di Jakarta dan Manila, berjasa sebagai pengasas Perkhidmatan Audio Visual Bernama, yang berkembang menjadi Bernama News Channel (BNC) pada hari ini.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment