Tuesday, 16 May 2017

Nazahiyah antara 10 pengayuh basikal negara tawan Thorong La Pass di Nepal...

   
Sepuluh pengayuh basikal negara yang menyertai Ekspedisi Kayuhan Altitud Tinggi Annapurna Circuit 2017 berjaya mendaki ketinggian puncak 5,416 meter (m) di Thorong La Pass di Banjaran Himalaya, Nepal, pada Isnin.
Detik kejayaan itu dilakar pada 11.30 pagi (waktu Nepal) sekali gus melayakkan peserta ekspedisi tersebut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai 'First Group to Cycle at High Altitude Track' (kumpulan pertama yang melakukan kayuhan altitud tinggi).
Ekspedisi yang turut disertai wartawan Bernama News Channel (BNC), Nazahiyah Mohd Hadzir, 32, mengharungi cabaran selama 11 hari untuk tiba di laluan antara gunung tertinggi di dunia itu.
Berkongsi cabaran ketika ekspedisi itu, Nazahiyah berkata mereka berdepan dengan cuaca tidak menentu sehingga menyebabkan sebahagian peserta mengalami tanda awal Penyakit Akut Gunung (AMS) ketika berada pada ketinggian 3,500m.
"Namun ia sedikit pun tidak mematahkan semangat pasukan untuk ke puncak Annapurna Circuit di Thorong La Pass.
"Kami mesti selesaikan apa yang kami sudah mulakan untuk diselitkan dalam lembaran sejarah kejayaan kami dan negara yang disayangi," katanya sejurus menamatkan ekspedisi tersebut.
Anak kelahiran Kulim, Kedah itu yang memulakan ekspedisi sejak 4 Mei bersama sembilan peserta lain berkata laluan yang diharungi amat mencabar mental dan fizikal masing-masing.
"Ada kalanya kami memikul dan menolak basikal kerana laluan cukup sukar serta diliputi salji tebal. Setelah pelbagai cabaran dilalui, kami tiba dengan laungan 'Malaysia Boleh'," katanya.
Nazahiyah berkata kumpulan pengayuh itu meluangkan masa 30 minit sebelum turun semula pada ketinggian 3,800m kerana faktor cuaca.
Sebelum tiba di Thorong La Pass, peserta ekspedisi berkayuh pada laluan di Banjaran Himalaya sejauh 140 kilometer (km) bermula di Besishahar.
"Alhamdulillah 11 hari bertarung, semua peserta kayuhan altitud tinggi selamat tiba, perasaan kegembiraan sukar digambarkan. Kejayaan kami di Thorong La Pass ini merupakan satu rekod baharu untuk negara," katanya.
Peserta ekspedisi mempunyai kayuhan sejauh 120km lagi untuk melengkapkan misi yang dijangka berakhir pada 19 Mei di Pokhara, Nepal.
Misi diketuai Shamsudin Ismail itu dianjurkan Majlis Rekreasi Malaysia.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment