Monday, 22 May 2017

Bernama Terlalu Istimewa Bagi Tiga Pemberita Sambilan...

Oleh Zalina Maizan Ngah 
 
Bersempena dengan sambutan jubli emas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), berikut adalah artikel berkaitan tiga orang pemberita sambilan Bernama yang jumlah tempoh perkhidmatan mereka  dengan agensi berita itu menjangkau 120 tahun.

Mencurah keringat dan menyumbang tenaga sebagai pemberita sambilan bukan kerana imbuhan wang tetapi kerana ''cinta'' dan kesetiaan terhadap tugas dan organisasi ini.   
Itulah antara kata-kata tiga pemberita sambilan yang menjadi antara petugas paling lama berkhidmat dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sejak tahun 70-an hingga kini.
Ibrahim Abu Bakar, 74, Nordin Mahadi, 65 dan Tuan Azam Tuan Johan, 64 bertugas di Biro Bernama Terengganu dan membuat pelbagai liputan termasuk bidang politik, sukan dan ekonomi.
Sempena sambutan ulangtahun Jubli Emas Bernama ke-50 tahun, Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Pok Him berkata beliau berasa bangga memiliki pas Bernama sejak dahulu lagi malah telah berkhidmat dengan 13 orang Ketua Biro sejak menyertainya pada 1973.
Beliau yang kini berehat ekoran faktor kesihatan berkata keinginannya untuk menulis sentiasa ada kerana separuh daripada usia telah dihabiskan bersama Bernama yang bagaikan jantung yang sentiasa berdenyut dalam jiwanya.

TUGAS DIDAHULUKAN

"Bila sakit kadangkala saya susah nak ke klinik atau hospital, sebab kalau pergi ke sana, pasti saya tidak dapat menulis berita untuk hari itu kerana seharian buat pemeriksaan...jadi saya pilih untuk pergi kerja, dapat buat berita," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kuala Terengganu.
Menceritakan mengenai penglibatan awalnya dengan Bernama, Pok Him yang terkenal dengan jolokan wartawan sukan veteran berkata sekitar tahun 70-an, teknologi yang digunakan untuk menyalurkan berita adalah melalui mesin telex.
"Dahulu nak hantar berita susah...mana ada telefon bimbit zaman dulu, tak macam sekarang teknologi di hujung jari, gi (pergi) mana-mana pun kita boleh hantar berita dengan cepat, taip melalui telefon pintar je.
"Dulu, lepas habis tugasan, wartawan kena balik ke pejabat untuk taip berita guna mesin teleprinter,...lepas taip kena hubungi pihak telekom untuk dapatkan ''line'' telex, bila pihak ibu pejabat Bernama dah bersedia untuk terima berita, barulah kita dapat hantar guna mesin teleprinter itu...kadangkala terpaksa kita ulang hantar beberapa kali sebab kertas teleprinter tak elok atau line bermasalah," katanya.
"Masa guna mesin taip, kadangkala kalau terlalu banyak silap masa menaip macam ejaan salah ke, maklumat salah ke... terpaksalah kita taip semula berita dari awal... macam sekarang semua moden, kalau buat silap pun boleh ''delete'' macam tu je, kemudian digantikan perkataan lain, memang senang," katanya yang cekap menaip tanpa memandang papan kekunci.
Ibrahim berkata sekitar tahun 90-an barulah berita dihasilkan menggunakan komputer.
     
RAHSIA KEKAL LAMA DENGAN BERNAMA

Ditanya rahsianya yang kekal lama berkhidmat dengan Bernama, Ibrahim berkata dalam apa jua yang dilakukan beliau tidak pernah memikirkan soal bayaran, tetapi hanya mementingkan keikhlasan dalam bekerja.
"Dulu-dulu dapat RM3 hingga RM5 sahaja untuk satu berita, sebulan nak dapat RM1,000 pun susah tapi tak kisahlah dibayar berapa sebab saya memang minat menulis... dari muda lagi menulis," katanya yang pernah menjadi wartawan untuk sebuah syarikat majalah hiburan di Singapura sekitar 60-an sebelum menyertai Bernama.
Menceritakan pengalamannya menjadi wartawan, Ibrahim berkata setiap tugasan ada memorinya tersendiri, tetapi yang paling diingati apabila bot yang dinaiki ke Pulau Redang dipukul ribut di tengah laut.
Ibrahim yang menghidap penyakit buah pinggang dan jantung berkata beliau cukup bertuah diberi peluang menjadi pemberita sambilan di agensi yang sentiasa menjaga kebajikan pekerja dan pernah menerima sumbangan melebihi RM10,000 hasil sumbangan rakan sekerja dan Bernama.

JIWA TUAN AZAM SEBATI DENGAN BERNAMA

Sementara itu, Tuan Azam  yang pada awalnya adalah pembantu pejabat di Terengganu berkata Bernama terlalu sebati dengan jiwanya dan amat istimewa malah berpeluang menulis berita menjadikan beliau seorang yang lebih berkeyakinan.
"Saya mula bekerja pada 1 Nov, 1972 pada usia 18 tahun, sebagai pembantu pejabat. Mula-mula bekerja sangat sukar kerana kita budak kampung yang tidak didedahkan dengan kerja di pejabat. Bekerja tujuh hari seminggu.
"Walaupun saya bekerja tanpa henti, namun ia ada keberkatan apabila saya dapat belajar pelbagai perkara seperti ambil berita melalui telefon daripada ''stringer'' atau dari biro Bernama Pahang dan Kelantan untuk dihantar ke ibu pejabat melalui mesin telex (teleprinter). Keadaan ini menjadikan saya mahir menaip dan menggunakan teleprinter yang kemudiannya dinaik pangkat menjadi operator telex dan kemudiannya beralih kepada 
operator komputer," katanya.
Tuan Azam berkata beliau menjadi pemberita sambilan secara rasmi pada  1980 setelah yakin dengan kebolehan menulis ekoran berpengalaman membaca dan menulis berita bagi pihak wartawan lain.
"Banyak kenangan manis sepanjang saya bekerja dengan Bernama. Di sini tempat saya belajar dan banyak menimba pengalaman. Saya diasuh oleh  Bernama menjadi pemberita. Kenangan yang paling indah ialah apabila saya memenangi dua anugerah penulisan berita di tempat  pertama pada tahun 2007.

TIADA NOKTAH DALAM BERKHIDMAT UNTUK BERNAMA

"Walaupun saya telah pencen pada 2012 setelah berkhidmat hampir 40 tahun, tetapi saya masih lagi menyumbang dan terus bertugas sebagai pemberita sambilan. Saya terhutang budi dengan Bernama," katanya.
Nordin pula yang menyertai Bernama pada 1986 adalah seorang bekas guru, turut mengalami pengalaman yang hampir sama dengan Ibrahim dan Tuan Azam untuk menghantar berita sepanjang berkhidmat.
"Oleh kerana saya masih seorang guru ketika menyertai Bernama, saya terpaksa membahagi-bahagikan masa selepas waktu sekolah dan menumpukan pada kerja kewartawanan pada Jumaat dan Sabtu. Banyak pengalaman yang saya peroleh semasa bertugas dengan Bernama.
"Antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan adalah apabila membuat liputan berita kemalangan membabitkan tujuh buah kereta pada pukul 1 pagi dengan mayat bergelimpangan dan kebetulan hanya saya serta dua anggota polis sahaja berada di tempat kejadian...memang ngeri," katanya.
Ujar Nordin, pernah juga berlaku semasa mengikuti ceramah politik, keretanya diludah oleh penyokong parti tertentu, namun semangat untuk terus berkhidmat dengan Bernama tidak pernah luntur.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment