Sunday, 14 May 2017

Bernama perkukuh kedudukan sebagai agensi berita berwibawa...


Oleh Nur Syuhada Shamsudin
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan memperkukuh kedudukannya sebagai sumber berita dipercayai di tengah-tengah fenomena penyebaran berita palsu yang berleluasa dalam media sosial, kata Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh.
Beliau berkata sejak beroperasi  50 tahun dahulu, Bernama sentiasa meningkatkan mutu perkhidmatannya supaya agensi berita ini kekal unggul sebagai sumber maklumat yang dipercayai, cepat, tepat dan berkualiti.
"Kita harus menghasilkan laporan yang berobjektif, beretika dan bertanggung jawab. Hanya dengan cara mengekalkan kredibiliti seumpama inilah kita akan terus dipercayai pelanggan dan orang ramai .
"Orang akan hilang kepercayaan  kalau kita melaporkan berita berdasarkan sumber yang tiada autoriti dan menyiarkan berita palsu. Bukan saja hilang kepercayaan, malah keraguan pun boleh menjejaskan nama Bernama, sekaligus menjadikan kita tidak lagi relevan," katanya dalam temu ramah bersempena  ulang tahun ke-50 agensi berita itu.
Zulkefli berkata sepanjang 50 tahun penubuhannya, Bernama dilihat dapat berfungsi dengan baik sebagai  agensi penyampai maklumat  kepada pelbagai pihak termasuk  kerajaan, swasta dan rakyat menerusi perkhidmatan yang disalurkan.
Dalam menghadapi era digital kini, Zulkefli berkata Bernama harus menggunakan sepenuhnya pelbagai saluran dan platform termasuk televisyen, radio dan media sosial dalam menyebarkan  berita dan maklumat.
“Kita tidak boleh mengenepikan era digital atau kita akan ketinggalan,” katanya.
“Apabila pelanggan puas hati, mereka akan terus melanggan. Alhamdullilah, sampai saat ini banyak pihak terus melanggan sejak kita beroperasi dan ada yang sudah  hampir 50 tahun terus menjadi pelanggan setia,” kata beliau.
Bernama yang merupakan sebuah badan berkanun ditubuhkan di bawah Akta Parlimen pada 1967 dan memulakan operasinya pada 20 Mei 1968.
Bermula dengan hanya 44 petugas, Bernama kini  mempunyai lebih 300 wartawan, editor, jurugambar dan jurukamera video yang melapor dari ibu pejabat, biro-biro di 13 negeri serta Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya, pejabat-pejabat luar di Singapura, Jakarta dan Bangkok, serta wakil-wakil di Eropah, New York dan New Delhi.
Bernama merupakan anggota lembaga eksekutif Pertubuhan Agensi-agensi Berita Asia-Pasifik (OANA) yang menggabungkan 44 agensi berita dari 33 negara. 
Sebagai agensi berita,  Zulkefli berkata Bernama tidak seharusnya bersaing dengan media sosial dan media arus perdana, kerana  apa yang lebih penting adalah untuk bergerak selangkah ke hadapan dalam melaporkan isu semasa.
"Kita bergelut dengan isu dan perkembangan semasa  dan bukan bergelut dengan media. Kita tidak perlu khuatir dengan media lain kerana mereka adalah pelanggan kita  dan kita melengkapi mereka dan menulis untuk mereka," jelas Zulkefli.
Ketika ditanya  hala tuju Bernama dalam tempoh 10 hingga 50 tahun akan datang, Zulkefli berkata  agensi berita itu akan terus menghasilkan berita  dan maklumat dalam semua platform yang dikehendaki masyarakat.
Zulkefli yang berkhidmat dengan Bernama sejak 37 tahun lepas, turut berkongsi kenangan pahit dan  manis Bernama sepanjang 50 tahun penubuhannya.
Beliau berkata antara kenangan manis Bernama adalah apabila perkhidmatannya memberikan kesan positif kepada masyarakat dan negara misalnya  Meja Berita Bahasa Arab yang menyalurkan maklumat kepada 18 negara Arab yang dilihat membantu meningkatkan kedatangan pelancong dari rantau itu ke Malaysia.
Selain itu, Zulkefli berkata Bernama juga bertuah kerana diberi kepercayaan mengendalikan pusat-pusat media untuk pelbagai acara bertaraf antarabangsa sepanjang penubuhannya antaranya Sukan Komanwel (Sukom) 1998, persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), persidangan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM).
Bernama juga mengendalikan sekretariat NAM News Network (NNN) yang ditubuhkan untuk meningkatkan kerjasama di kalangan anggota pergerakan itu yang kini berjumlah 120 negara.
"Selain melaporkan berita, kita menyediakan kemudahan kepada wartawan dari seluruh dunia untuk membuat liputan acara itu. Ini bukan kerja mudah kerana semasa Sukom misalnya, kita membekalkan berita dan keputusan  yang tepat sebab banyak rekod dunia dipecahkan  di Sukom.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment