Thursday, 18 May 2017

Benita Anjur All Ladies Treasure Hunt KL-Pekan...

Sebanyak 300 peserta bakal memburu hadiah wang tunai RM12,000 berserta hadiah iringan lain bagi program  'All Ladies Treasure Hunt (ALTH) 2017' dari Kuala Lumpur ke Pekan, Pahang pada 22 dan 23 Julai ini.
Acara kembara mencari harta karun bertemakan ‘Kawan Nak ke Pekan’ itu diadakan bersempena sambutan Jubli Emas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Tahun Melawat Pahang 2017.
Acara eksklusif untuk wanita  anjuran kali keempat Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (Benita) itu, disertai peserta dalam kalangan orang awam,  wartawan dan kakitangan agensi berita nasional itu melibatkan 60 kereta.
Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh berkata program itu bertujuan mengeratkan kerjasama berpasukan, pemanduan selamat serta mempromosi tempat-tempat menarik sepanjang laluan kembara, selain menjalankan program kebajikan.
"Penyertaan dibuka sekarang sehingga tarikh akhir pada 16 Jun ini, melibatkan dua kategori iaitu kategori terbuka untuk orang awam dan kategori tertutup untuk anggota Benita," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran ALTH 2017 di Wisma Bernama, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan Zulkefli bersama-sama melancarkan acara itu.
Turut hadir Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab, Pengurus Besar Tourism Pahang  Datuk Ishak Mokhtar dan  Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Rozilan Salleh.
Zulkefli berkata acara kembara dwitahunan itu menerima tajaan utama daripada kerajaan negeri Pahang, Ambank Group (M) Bhd, Mah Sing Group Bhd dan Affin Hwang Asset Management Bhd serta pelbagai penaja lain.
Pengerusi Benita Datin Rohana Mustaffa berkata ALTH 2017 mendapat sambutan menggalakkan dan sasaran jumlah peserta dijangka tercapai seperti penganjuran ALTH terdahulu.
ALTH kali pertama dianjurkan pada 2011 dari Kuala Lumpur ke Nilai, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur ke Melaka pada 2013 dan Kuala Lumpur ke Lumut, Perak pada 2015.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment