Monday, 22 May 2017

Pengerusi Bernama Cadang Tukar Nama Jalan Kepada Jalan Bernama...

Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Datuk Seri Azman Ujang mencadangkan agar Jalan 1/65A off Jalan Tun Razak yang menjadi laluan masuk ke ibu pejabat agensi berita itu ditukar kepada 'Jalan Bernama'.
Beliau berharap cadangan itu boleh dipertimbangkan dan dipersetujui oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memandangkan Wisma BERNAMA telah sekian lama menjadi mercu tanda di kawasan itu yang menjadi cabang Jalan Tun Razak. 
Jelasnya Wisma BERNAMA merupakan bangunan yang pertama didirikan dan mula digunakan pada 1984 dan mendahului bangunan lain di sekitarnya seperti Perpustakaan Negara, Balai Seni Lukis Negara, Pusat Darah Negara dan Istana Budaya.
"Sejak sekian lama cabang jalan di mana terletaknya Wisma BERNAMA dikenali dengan satu nama yang tidak signifikan langsung iaitu 1/65A. Oleh itu saya cadangkan nama Jalan 1/65A ditukar ke Jalan BERNAMA.
“Kita akan membuat permohonan secara formal berhubung perkara ini kepada DBKL dan sekiranya diluluskan Insya-Allah ia merupakan hadiah yang paling bermakna dan berharga kepada seluruh warga BERNAMA baik yang dulu atau masa kini dan akan dikenang selama-lamanya," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun BERNAMA Ke-50 di Dewan Perdana Felda malam ini.
Bernama ditubuhkan di bawah Akta Parlimen pada 6 April 1967 dan dilancarkan secara rasmi pada 30 Ogos 1967 bersempena  ulang tahun ke-10 kemerdekaan negara.
Ia mula beroperasi pada 20 Mei 1968 dengan pengeluaran berita pertama mengenai pelancaran perkhidmatan berita Bernama oleh Menteri Penerangan dan Penyiaran ketika itu Tan Sri Senu Abdul Rahman.
Azman berkata sejak separuh abad yang lepas, BERNAMA sebagai pertubuhan berita tidak pernah berhenti daripada menghasilkan laporan berita yang tepat dan benar kepada semua rakyat di pelusuk negara.
"Ini dilakukan tanpa henti atau tanpa cuti dalam apa jua keadaan sekalipun. Sedangkan pembekal kuasa elektrik negara Tenaga Nasional Berhad (TNB) pun pada awal tahun 90-an mengalami gangguan bekalan termasuk apa yang dipanggil 'Peninsula-wide Blackout' yang melumpuhkan hampir seluruh Semenanjung Malaysia.
"Tetapi BERNAMA tetap beroperasi ketika itu dengan menggunakan generator kecemasan, malah lebih banyak peristiwa dan berita perlu dilaporkan tentang implikasi ekoran putusnya bekalan elektrik yang begitu menyeluruh khususnya kesan-kesan ekonomi negara," katanya.
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada semua warga agensi berita itu yang telah memberi sumbangan khidmat bakti dan jasa dalam pelbagai bidang kepada Bernama.
Azman turut menzahirkan terima kasih kepada semua penaja yang memberi sambutan di luar jangkaan kepada Bernama dalam menjayakan sambutan malam ini.
Kira-kira 1,300 orang terdiri daripada petugas lama dan baharu Bernama serta pelanggan setia agensi berita itu menghadiri majlis jamuan tersebut.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment