Monday, 22 May 2017

Bernama Kekal Sumber Maklumat Berwibawa Dan Sahih - Ahmad Zahid

Zaman ledakan maklumat yang memungkinkan setiap orang menjadi penyebar maklumat, menjadikan Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) tetap kekal relevan sebagai sebuah agensi berita berwibawa dan sumber rujukan sahih.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Bernama sentiasa meletakkan kepentingan ketepatan dan ketelusan dalam laporannya.
"Kemunculan internet memungkinkan setiap orang menjadi penulis, pemberita, penganalisis dan penyebar maklumat. Tetapi cabaran yang kita hadapi ialah bagaimanakah untuk memastikan sesuatu maklumat, berita dan hebahan yang disiarkan melalui akhbar politik tertentu dan media baharu ini adalah benar dan sahih?.
"Bagaimanakah kita hendak memastikan ia tidak terselit dengan agenda pihak tertentu yang mempunyai kepentingan politik, perniagaan dan ideologi yang membawa kerosakan kepada masyarakat dan negara?
"Di sinilah, saya dapati peranan Bernama begitu menyerlah pada ledakan maklumat yang serba mencabar ini," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Jubli Emas Bernama malam ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dalam majlis gilang-gemilang yang berlangsung di Dewan Perdana Felda di ibu negara.
Kira-kira 1,300 orang terdiri daripada petugas lama dan baharu Bernama serta pelanggan-pelanggan setia agensi berita itu menghadiri majlis jamuan tersebut.
Bernama ditubuhkan di bawah Akta Parlimen pada 6 April 1967 dan dilancarkan secara rasmi pada 30 Ogos 1967 bersempena ulang tahun ke-10 kemerdekaan negara.
Ia mula beroperasi pada 20 Mei 1968 dengan pengeluaran berita pertama mengenai pelancaran perkhidmatan berita Bernama oleh Menteri Penerangan dan Penyiaran ketika itu Tan Sri Senu Abdul Rahman.
Ahmad Zahid berkata keupayaan Bernama sebagai sebuah agensi berita berwibawa terbukti melalui liputan Bernama mengenai pelbagai peristiwa penting seperti Sidang Kemuncak ASEAN, tragedi kehilangan pesawat MH370, Perhimpunan Agung PBB, serangan Lahad Datu, persidangan ekonomi, acara sukan dan isu-isu semasa yang panas dalam dunia politik dan ekonomi serta keselamatan negara.
"Sejajar dengan matlamatnya untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi serta lebih dihormati masyarakat global, Malaysia memerlukan rakyat yang bermaklumat, patriotik serta jelas dari segi hala tuju negara.
"Dalam hal ini, saya dapati, Bernama memainkan peranan penting untuk membantu mereka ke arah menjadi warganegara yang berkualiti dan bermaklumat melalui laporan dan pelbagai perkhidmatannya, termasuk Bernama.com. pameran serta program radio dan televisyen," katanya.
Ahmad Zahid turut memuji kemampuan Bernama mengendalikan saluran televisyen dan radio iaitu Bernama News Channel (BNC) melalui ASTRO dan Bernama Radio yang dapat meningkatkan peranannya dalam menyampaikan berita dan menjelaskan kepada orang ramai tentang program serta dasar negara.
Langkah itu, katanya, dapat membantu usaha kerajaan untuk membentuk warganegara Malaysia yang bermaklumat, berwawasan dan tidak terpengaruh oleh berita berbaur fitnah dan putar belit yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.
"Program berbentuk bual bicara, majalah, interaktif dan yang menampilkan tokoh tertentu untuk mengupas sesuatu isu, menjadikan saluran radio dan televisyen Bernama ini menarik dan mempunyai ciri tersendiri berbanding stesen lain.
"Saya yakin, Bernama mampu pergi lebih jauh dalam bidang ini dan tidak mustahil untuk menjadi saluran radio atau televisyen yang lebih bermanfaat serta menonjol, sekurang-kurangnya di mata Komuniti ASEAN dalam tempoh terdekat. Sebenarnya, banyak perkara dan program lain lagi yang boleh diteroka dalam bidang ini jika kita sama-sama berpadu tenaga dan fikiran," katanya.
Beliau berkata Bernama juga sering menonjolkan laporan mengenai kekayaan seni budaya, keindahan alam semula jadi, kecanggihan kemudahan awam dan kepesatan pembangunan negara hasil kerjasama erat antara rakyat dan kerajaan melalui Bernama Radio dan BNC untuk menangkis segala cerita palsu dan fitnah yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya sumbangan Bernama kepada organisasi media lain, termasuk akhbar, stesen radio dan televisyen serta portal berita juga begitu konsisten dalam memainkan peranannya sebagai penyedia kandungan yang profesional.
"Ketangkasan Bernama dalam menyalurkan maklumat berguna daripada kerajaan, swasta, NGO dan pelanggannya yang lain tentang sesuatu perkara untuk kepentingan masyarakat dan negara, amat saya alu-alukan.
"Saya berharap, sambutan Jubli Emas ini akan menjadi pemangkin dan titik penting bagi Bernama dan warganya untuk melakar pencapaian lebih cemerlang pada masa akan datang," katanya.
-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment