Friday, 19 May 2017

Bernama - Sekilas Masa Lalu, Pedoman Hari ini...


Oleh Sarimah Othman

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Apatah lagi tempat belajar dan mencari rezeki, bagi saya. Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, singkatannya Bernama – itulah tempatnya.
Kerjaya kewartawanan saya bermula di Bernama.  Tempat pertama mencari rezeki, yang juga merupakan ‘sekolah’ asas kewartawanan saya. 
Malah, Bernama adalah tempat di mana saya mengenal erti hidup di perantauan tanpa ayah ibu.
Malah, di situlah saya mengenali karakter yang pelbagai dan mencabar seperti ketawa, menangis, ketakutan, kebingungan malah stres. Terlalu berat  menghadapi segalanya pada usia 19 tahun.
Melalui Bernama juga saya menemui segenap lapisan masyarakat dari pondok setinggan hingga ke istana, dari warung hingga ke hotel bertaraf antarabangsa, dari sekolah tadika hinggalah ke universiti malah mahkamah, rumah mayat, penjara, lokap dan ibu pejabat polis pernah ibarat rumah kedua.
Melancong taraf lima bintang, tidur di kaki lima, ditembak hos bomba dan ‘bermain aci’ dengan perompak, semuanya dilalui. Segala pengalaman itu tersemat di hati dan telah banyak memberi pengajaran serta membantu dalam karier penulis yang bermula pada 1982.
  
MENCARI PENGALAMAN

Benar, jika komitmen kerja diukur berdasarkan kesetiaan terhadap tempat kerja pertama itu, saya boleh dikategorikan sebagai gagal. Tetapi, jika diukur dari segi usaha dan kesungguhan tanpa paksaan demi tugasan, saya telah dan sentiasa berusaha sehabis mungkin di mana juga saya bertugas.
Saya meninggalkan Bernama setelah 13 tahun berkhidmat demi mencari pengalaman dunia kewartawanan yang lebih luas (ketika itu) namun melangkah pergi dengan azam untuk bersara di Bernama kelak.
Bekalan ‘ilmu’ yang diperoleh ketika berkhidmat di Bernama telah banyak membantu walau di mana saya berkhidmat bak kata, ia “carry weight”. Ke mana saja saya pergi, ramai yang memuji ‘lepasan-lepasan’ Bernama yang telah mengorak langkah terutamanya dalam sektor swasta, ada yang mencari lebih pendapatan ada pula untuk menimba pengalaman.
Mengimbas kembali masa lepas, 35 tahun dalam bidang kewartawanan masih baharu bagi saya. Sehingga kini, saban hari saya masih belajar. Saya tidak pernah lelah, apatah jemu. Kecintaan tetap pada kewartawanan walau banyak telah berubah. Betapa kehidupan ini pesat berubah, begitulah dunia kewartawanan.
  
CARA DIDIK

Namun, tempik, jerit dan pekik ‘bos-bos’ ketika itu terus terngiang-ngiang di telinga. Kecewa, sedih dan marah ketika itu tetapi kini saya sedar betapa bernilainya suara-suara mereka itu. Begitulah cara mereka mengajar malah mendidik.
Beberapa nama tersemat di hati sehingga kini antaranya Ahmat Wahab, Musa Scully, Datuk Rejal Arbee dan S.Sivaselvam. Ketika itu mereka ‘digeruni’, kini penulis amat terhutang budi.
Ada lagi beberapa orang ‘guru’ terbaik, namun sudah meninggal dunia. Bohong jika saya katakan tidak ada yang dibenci, tetapi sudah dianggap sebagai rempah-ratus kehidupan dan tidak perlu disebut-sebut lagi.
“Sudah baca newspaperkah?” “Apa headline hari ini?” “PM ada di mana sekarang ni?”
Intro sepatutnya begini bukan macam tu, pergi buat semula.” “Berita apa ini, kamu ingat ini untuk majalah sekolah?” “Berapa jam nak siapkan satu story?”
Itu antara ungkapan-ungkapan yang berkali-kali seseorang pemberita kadet dengar saban hari. Ada kalanya berkali-kali diarahkan supaya ‘rewrite’ berita yang dikarang menggunakan mesin taip. Ada kalanya disuruh ubah lagi, jadi taip lagi dan lagi sehingga berkali-kali disuruh buat semula. Ada ketikanya ditengking herdik.

KERJA IKIUT ARAHAN

Namun akhirnya, ”Cara kamu tulis berita itu tak salah, cuma nak tunjuk beberapa ‘approach’ lain,” begitu kata bos berkenaan.
Tidak seorang yang kena begitu, termasuk saya. Bohong jika penulis katakan tidak sakit hati ketika itu, tapi pengajarannya tidak ternilai.
Tidak lupa juga, setiap kali keluar bertugas di luar pejabat, pastinya sediakan sebanyak mungkin wang syiling supaya senang menggunakan telefon awan untuk menghubungi pejabat agar bos-bos tidak tertanya-tanya jika lewat pulang ke pejabat atau bersedialah untuk ‘menjawab’ pelbagai soalan. 
Namun, seingat penulis, dalam rungutan tidak ada yang memberontak atau melawan. Kebanyakan daripada kami kerja mengikut arahan dan jadual. Bak kata orang, tidak banyak kerenah apatah lagi mahu membantah. Kerja malam, hujung minggu, hari cuti umum malah musim perayaan tanpa sebarang alasan.
Waktu bekerja juga jarang sekali culas. Malah, meluangkan lebih banyak masa di pejabat daripada rumah. Selagi kerja belum siap dan selesai diperiksa oleh ‘bos’, selagi itu tidak meninggalkan pejabat.

 DEMI BERNAMA

Bila diingat kembali, ada kalanya tertanya sendiri, apakah bos-bos itu dihormati atau ditakuti terutamanya dalam kalangan pemberita kadet. Namun, itu sudah berlalu dan hakikatnya bimbingan mereka berkesan hingga kini. Rugi jika mensia-siakan segala ilmu yang dipelajari itu.
Memang, saya bukanlah golongan ternama. Tidak juga berpangkat. Tidak mengapa, lagi pun bukan itu matlamat hidup saya.
Saat diterima kembali bekerja di Bernama memang menaikkan semangat dan menggembirakan. Walaupun terpaksa meninggalkan pekerjaan lain, penulis tidak kesal namun ada rasa takut.
Bagaimanakah Bernama sekarang ini? Persoalan yang bertubi-tubi mengganggu fikiran.
Memang banyak perubahan. Bagaikan rusa masuk kampung rasanya. Bernama sudah berubah. Lebih banyak wajah-wajah yang tidak dikenali. Bernama bukan lagi satu keluarga kecil yang saling mengenali dan hanya beroperasi di bangunan empat tingkat sebaliknya kini mempunyai ratusan kakitangan, memenuhi 15 tingkat bangunan Wisma Bernama.
Bernama bukan sahaja di ibu pejabat malah punyai banyak cawangan. Walau tidak semua saling mengenali namun hakikatnya perlu saling melengkapi demi Bernama.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment