Monday, 1 May 2017

Bendera Bernama berkibar di Annapurna...

Daripada Linda Khoo dan Noor Shamsiah Mohamad

Empat wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) mencipta sejarah apabila menjadi antara 31 pengamal media daripada pelbagai organisasi yang berjaya mengharung misi cabaran Annapurna 2017 Media dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Noor Shamsiah Mohamad (Biro Pahang), Nur Firdaus Abdul Rahim (Biro Terengganu), Linda Khoo (Biro Putrajaya), dan Mohamad Hafiz Abas (pemberita sambilan) tiba dengan selamat di Kem Pangkalan Annapurna (ABC) bersama-sama peserta ekspedisi lain pada tengah hari Ahad (30 April).
Mereka turut mendedikasikan kejayaan itu dengan mengibarkan bendera Bernama sempena sambutan ulang tahun ke-50 agensi berita itu tahun ini.
Kejayaan kesemua pengamal media dan warga Bomba dan Penyelamat itu bakal dilakarkan dalam Malaysia Book of Records bagi kategori ekspedisi terbesar ke ABC yang setinggi 4,130 meter itu.
Selain Bernama, wakil media yang turut menyertai ekspedisi berkenaan adalah dari Utusan Malaysia, Berita Harian, TV3, The Star, Kosmo, Harian Metro, TV AlHijrah, Astro Awani, Nanyang Siang Pau, China Press, dan Malaysia Gazette.
Kumpulan itu juga mengibarkan Jalur Gemilang gergasi di ABC selain menyanyikan lagu Negaraku dan Jalur Gemilang.
Nur Firdaus berkata kejayaan itu mencipta sejarah tersendiri kerana ia melibatkan pengamal media yang paling ramai ke ABC.
"Bukan mudah untuk mengumpulkan pengamal media seramai 31 orang dalam satu program yang sebesar ini tetapi kami telah membuktikan atas semangat kerjasama dan setiakawan yang erat akhirnya misi ini berjaya dilaksanakan.
"Apa yang penting, misi ini mampu melonjakkan lagi nama pengamal media yang bukan sahaja melaksanakan tugas hakiki malah menyertai aktiviti luaran bertaraf dunia seperti cabaran mendaki ke ABC," katanya.
Sementara itu, Pengarang Berita di Berita Harian Khirul Bahri Basaruddin, 56, berkata ini merupakan kejayaan besar kepada pengamal media kerana walaupun sibuk dengan tugas harian namun, mereka berjaya membuktikan media mampu melakukan aktiviti lasak.
"Penyertaan media kali ini terdiri daripada pelbagai peringkat umur, namun ia bukan penghalang untuk kita bersama-sama melakar kejayaan dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
"Saya sendiri pada mulanya tidak yakin dapat menamatkan misi ini namun, dengan semangat setiakawan dan berpasukan yang tinggi, saya berjaya tiba di sini," katanya.
Beliau menyifatkan cabaran paling getir semasa mengharungi misi itu adalah pada Ahad semasa menuju ke ABC apabila terpaksa melalui laluan trek yang bersalji selain oksigen yang semakin menipis.
Sementara itu, Pengarang Bersekutu Berita dan Integrasi Media Harian Metro Noor Sham Saleh berkata walaupun pengamal media yang menyertai misi itu bukanlah pendaki profesional tetapi kemampuan mengharungi cabaran sepanjang empat hari pendakian dengan perjalanan sejauh 41 kilometer amat membanggakan.
"Mungkin, kita tidak hairan jika anggota dan pegawal badan beruniform seperti Bomba mampu menjayakan misi ini namun, apabila kesemua 31 petugas media berjaya tiba di ABC, ia merupakan satu sejarah," katanya.
Noor Sham, yang menjadikan aktiviti lasak sebagai hobi dan senaman untuk amalan gaya hidup sihat, tidak menyangka mampu tiba dengan selamat di ABC bersama-sama suaminya Zainuri Misfar yang juga Pengarang Berita di Berita Harian.
Presiden Kelab Media Pahang selaku penganjur utama acara ini Datuk Nik Naizi Nik Husin menyifatkan kejayaan ekspedisi itu adalah hasil kerjasama erat antara setiap peserta termasuk warga Bomba dan Penyelamat.
"Kita berusaha melakukannya dengan sebaik mungkin. Gabungan usaha dan komitmen membolehkan kita berjaya melaksanakan misi ini," katanya.

No comments:

Post a Comment