Wednesday, 17 May 2017

Peranan Bernama Sebagai Jambatan Berita...

Oleh Sharifah Hunaini Syed Ismail

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) perlu terus meningkatkan peranannya sebagai 'jambatan berita' yang menghubungkan Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak dalam era digital ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata akhbar-akhbar dan platform media di Sabah dan Sarawak menjadikan Bernama sebagai sumber penting mereka mendapatkan berita mengenai peristiwa dalam negara khususnya di Semenanjung.
Sebaliknya, media di Semenanjung juga bergantung kepada Bernama untuk melaporkan peristiwa di kedua-dua negeri itu.
Seorang menteri dari Sarawak, Datuk Fadillah Yusof berkata Bernama setakat ini dilihat mencapai objektif khususnya untuk menyalurkan berita mengenai Sabah dan Sarawak ke Semenanjung, begitu juga sebaliknya.
Keseriusan dan komitmen Bernama untuk merapatkan hubungan dan integrasi antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak sangat jelas dengan mewujudkan tujuh buah biro di Sabah dan Sarawak serta membantu memantapkan lagi penyebaran berita--berita semasa dari wilayah-wilayah itu kepada umum, katanya ketika ditemuramah sempena sambutan Jubli Emas Bernama.
"Bernama sebagai agensi pertubuhan berita nasional perlu menjadi pelopor berita tepat nombor satu di negara ini agar terus kekal relevan dan berimpak tinggi dalam memberi persaingan bukan sahaja dalam negara malah di luar negara.
"Bernama perlu bersaing dalam dunia siber untuk memastikan ia kekal relevan sebagai sumber berita terkini dan boleh dipercayai dalam kalangan media tempatan dan asing, agensi-agensi kerajaan, swasta, universiti dan individu di negara ini," kata Menteri Kerja Raya itu.
Fadillah berkata penyampaian berita-berita menerusi media sosial dilihat mampu menjadikan Bernama sebagai sumber rujuk utama berita semasa bagi masyarakat umum khususnya.
"Moga Bernama terus kekal cemerlang sebagai sebuah medium berita rasmi yang berwibawa dan diyakini serta mampu menyaingi kebanjiran maklumat palsu dan fitnah terutamanya dalam dunia siber kini," kata Fadillah, yang juga anggota Parlimen Petra Jaya.
Anggota Parlimen Ba'Kelalan yang juga Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian pula menyarankan Bernama lebih banyak turun ke kawasan pedalaman dan menjadi ejen dalam menyampaikan masalah rakyat kepada kerajaan.
"Bernama diharap lebih banyak mengeluarkan berita-berita di peringkat akar umbi serta pedalaman Sabah dan Sarawak terutama berhubung permasalahan yang dihadapi penduduk di pedalaman kerana Bernama ada keupayaan untuk tujuan itu.
"Itu harapan kita, untuk integrasi sebagai satu negara, persefahaman antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, semua benda begini perlu dikhabarkan dan diperluaskan lagi," kata Baru.
Menteri dari Sabah, Tan Sri Joseph Kurup pula berkata langkah Bernama menambah baik perkhidmatan dengan mengadakan saluran televisyen dan radio dapat memberi peluang kepada rakyat di negeri itu mengikuti perkembagan semasa dan terkini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu turut mencadangkan kandungan berita dan laporan Bernama diperbanyakkan dengan memberi penekanan bukan sahaja maklumat tentang pembangunan fizikal yang dilaksanakan kerajaan, tetapi juga paparan liputan mengenai kepuasan hati rakyat terhadap hasil pembangunan yang disediakan.
Seorang lagi menteri dari Sabah Datuk Wilfred Madius Tangau turut mahukan Bernama memperbanyakkan berita kemasyarakatan seperti kebudayaan dan keagamaan supaya nikmat kewujudan rakyat berbilang kaum dapat dihayati, sekaligus mempertingkatkan perasaan muhibah dan integrasi nasional.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment